
Kesan dari itu, ramai di kalangan juruterbang dan pekerja syarikat penerbangan yang berhenti atau diberhentikan lalu menceburi bidang pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Mereka terpaksa keluar dari zon selesa untuk mencuba sesuatu yang baru, dan mungkin rezeki mereka lebih baik bila beralih kepada bidang lain.
Zakaria Abu Salim, ketua pramugara di Malaysia Airlines antara mereka yang terjejas akibat pandemik ini.
Walaupun bersyukur masih dapat terus bekerja, namun jumlah penerbangan telah berkurangan secara drastik. Jika dulu ianya sekitar 10 hingga 12 penerbangan sebulan tetapi kini hanya satu atau dua penerbangan sebulan.
Dia yang telah berkhidmat selama 27 tahun sebagai pramugara itu mulai bimbang untuk memperolehi pendapatan bagi menyara lima orang ahli keluarganya.
Tilla Hanna, anak perempuan Zakaria memberitahu FMT bahawa akhirnya keluarga bersatu untuk sama-sama meneruskan kehidupan dengan sumber pendapatan lain melalui perniagaan makanan.

“Kedua ibu bapa saya mempunyai pengalaman dalam industri perkhidmatan dan F&B kerana keduanya pernah bekerja di hotel yang sama.
Malah, ibu juga belajar katering semasa di kolej,” ujarnya Tilla.
Pada bulan November 2020, keluarga Zakaria memulakan perniagaan nasi lemak di kejiranan mereka di Kota Kemuning. Sambutan yang diterima dari penduduk setempat begitu menggalakkan.
Namun, oleh kerana kedua anak lelaki Zakaria mula menyarankan menjual burger maka, setelah berfikir panjang, Zakaria dan isterinya bersetuju dan mendirikan gerai Bay-6 Burger di halaman rumah mereka.

Tetapi mengapa burger?
Sambil ketawa, Tilla menjelaskan bahawa keluarganya begitu menggemari burger dan dahulu mereka sering bereksperimen dengan resepi burger di rumah.
“Saya tidak pasti mengapa atau bila daya tarikan terhadap burger bermula tetapi yang saya tahu, sejak kecil kami sering makan burger buatan sendiri,” kata Tilla.
Memulakan perniagaan burger pastinya tidak mudah, sama seperti perniagaan lain, terdapat kos operasi yang perlu diambil kira, pembelian peralatan, penyelidikan dan yang paling penting, bagaimana menyempurnakan burger tersebut.
Namun, keluarga itu nekad meneruskan dan melancarkan perniagaan tersebut pada Krismas tahun lalu.
Pada awalnya, perniagaan tersebut bergerak agak lambat kerana kebanyakan jiran tidak menyedari kewujudan perniagaan burger mereka.
Namun, hari ini, gerai tersebut telah menjual rata-rata 40 burger setiap hari sama ada secara langsung kepada pelanggan yang datang ke gerai atau melalui penghantaran.

Peningkatan penjualan burger membuatkan keluarga ini terpaksa meluaskan lagi dapur mereka untuk menampung lebih banyak pesanan.
Bekerja bersama ahli keluarga mungkin agak sukar bagi sesetengah orang namun tidak buat keluarga Tilla, malah perniagaan ini telah mengeratkan lagi hubungan mereka.
“Di antara kami, masing-masing mempunyai bakat tersendiri dan jika semuanya memainkan peranan masing-masing, semuanya akan berjalan lancar,” katanya.
Tilla turut mengakui beruntung mendapat ibubapa sebagai majikan namun ianya kadang-kala agak mencabar.

Sementara Zakaria berurusan dengan pelanggan dan menguruskan kehadiran media di gerai Bay-6 Burger, isterinya pula sibuk menguruskan operasi gerai dengan menyediakan bahan-bahan mentah.
Manakala kedua anak lelakinya adalah tukang masak yang menyiapkan burger sementara Tilla membahagikan masa dengan membantu Zakaria dan adik-adiknya membungkus burger.
Tetapi apa yang dimiliki Bay-6 sehingga pelanggan terus-terusan memesan burger mereka?
“Daging burger kami adalah buatan sendiri dan dibuat dengan daging yang berkualiti,” kata Tilla, menjelaskan bahawa daging burgernya mempunyai rasa yang lebih enak dibandingkan dengan yang dibeli di kedai.
Malah, Bay-6 Burger turut menyediakan menu kombo burger baru setiap bulan dalam memberikan sesuatu yang istimewa kepada pelanggan untuk dinantikan setiap bulan.
Ditanya apakah mereka akan meneruskan perniagaan burger tersebut apabila keadaan bertambah baik dan ayahnya kembali berkhidmat dalam bidang penerbangan, Tilla berkata, “Ibu bapa saya menyiapkan Bay-6 untuk anak-anak mereka agar kami boleh berusaha sendiri menjalankan perniagaan.
“Dengan demikian, kami akan terus menjaga kios gerai Bay-6 tetapi mungkin mengubah menu bergantung pada permintaan walaupun setelah wabak ini selesai,” katanya.
Bay-6 Burger
11, Jalan Anggerik Aranda 31/19
Kota Kemuning
40460 Shah Alam
Selangor
Anda boleh melihat menu Bay-6 Burger’s di Facebook di sini dan buat pesanan dengan menghantarnya melalui WhatsApp ke 013-6351518.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]