Usahawan kelahiran Malaysia guna kendera saji jual sate di Itali

Usahawan kelahiran Malaysia guna kendera saji jual sate di Itali

Justin Yip yang dilahirkan di Malaysia, mungkin satu-satunya usahawan kendera saji Malaysia di Turin, Itali yang menjual sate, hidangan terkenal negara sebagai menu utama.

Justin Yip, 34, memulakan perniagaan kendera saji Sate & Sake pada 2017 dengan menjual hidangan sate. (Gambar Justin Yip)
PETALING JAYA:
Bumi yang tersohor dengan pasta, pizza dan gelato kini dilanda hawa selera Asia apabila Justin Yip, 34 tahun, memulakan perniagaan kendera saji, Sate & Sake, dengan memperkenalkan citarasa Malaysia dan Asia.

Usahawan kelahiran Muar yang tinggal di Itali selama 11 tahun itu memulakan perjalanan kendera sajinya empat tahun lalu di jalan-jalan di Turin, Itali.

Dia berharap dapat memperkenalkan makanan Malaysia dan rasa uniknya kepada orang Itali.

“Saya rasa arena perniagaan makanan di Turin ketiadaan hidangan Malaysia dan Asia yang benar-benar asli, dan walaupun Turin sebuah bandar yang agak besar, tidak terdapat makanan seumpama itu di pasaraya.

Walaupun makanan Malaysia sangat berbeza dengan makanan Itali, saya yakin dapat mendidik pelanggan untuk menikmati rasa dan tekstur baharu itu,” kongsi Justin kepada FMT.

Sate & Sake kini beroperasi menggunakan Ape Piaggio yang merupakan sebuah kereta kecil klasik Itali. (Gambar Justin Yip)

Buat masa ini, Justin yang mengendalikan Sate & Sake menggunakan Ape Piaggio, sebuah kereta kecil klasik Itali, hanya menghidangkan tiga menu.

“Untuk ruang yang saya ada di kendera saji ini, hanya dua atau tiga menu sahaja yang boleh saya kendalikan buat masa ini,” katanya.

Walaupun hanya dengan beberapa hidangan di menu, sudah cukup untuk membuat anda terliur dan kembali semula.

Justin berkata buat masa ini mereka menghidangkan, “Sate dengan nasi, timun dan kuah kacang, nasi dengan kari dan Banh Mi, yang merupakan sandwich Vietnam.”

Kendera saji itu terkenal dengan hidangan sate yang disajikan dengan nasi, timun dan kuah kacang. (Gambar Justin Yip)

Dibesarkan di Melaka, yang cukup terkenal dengan hidangan sate terbaik di Malaysia, tidak hairanlah Justin memilih sate sebagai hidangan utamanya untuk dijual.

Kemudian Banh Mi diperkenalkan ke dalam menu, yang menurut Justin, “Pada dasarnya adalah panini dengan rasa Asia Tenggara dan menjadi format yang tidak asing lagi bagi orang Itali.”

Selain itu, dia turut menjual nasi dan kari yang merangkumi makanan istimewa mingguan seperti, Rendang, Masak Merah, Kari Hijau dan lain-lain.

“Saya bekerja untuk sebuah syarikat pemula kecil sebelum memulakan perniagaan kendera saji ini, di mana saya mempromosikan masakan dan budaya Jepun kepada orang Eropah.

“Saya menjadi tertarik dengan ‘sake’ dan kemudian mengambil beberapa kursus berkaitannya dan sebaik memulakan perniagaan ini, saya memutuskan untuk menggabungkan kedua-duanya sebagai konsep yang unik dan menarik,” kata Justin menjelaskan asal-usul nama perniagaan kendera sajinya.

Ketika pra-pandemik, Sate & Sake beroperasi di luar universiti di mana perniagaannya berkembang pesat. (Gambar Justin Yip)

Kendera saji itu ditempatkan di luar sebuah universiti pada pertengahan tahun 2017 dan walaupun perniagaan bermula perlahan kerana berakhirnya tahun persekolahan, sebaik kelas bermula sepenuhnya, perniagaan kendera saji Justin berkembang pesat.

“Pelanggan saya memang suka makanan Malaysia, namun saya tidak boleh bercakap bagi pihak semua orang Itali,” ujarnya.

Sudah tentu, dengan bermodalkan masakan Malaysia yang pedas, agak menghairankan bagaimana orang Itali boleh menerimanya.

“Orang Itali biasanya akan ada masalah dengan makanan Malaysia tetapi jika mereka tahan dengan makanan pedas dan bersifat ingin tahu atau pernah melancong, mereka mungkin sangat menyukai makanan Malaysia”.

Walau bagaimanapun, Sate & Sake kini dalam mod hibernasi kerana wabak ini.

“Saya berniaga di luar universiti dan kelas beralih ke dalam talian sejak Covid-19 melanda,” tambah Justin sebelum restoran dibenarkan untuk dibuka semula, dia membuat penghantaran makanan selama beberapa bulan.

Mengenai rancangan masa depan, Justin sedang berusaha untuk mengembangkan lagi Sate & Sake menjadi restoran yang sebenarnya di mana dia akan dapat memperkenalkan lebih banyak hidangan ke dalam menu.

“Saya sudah lama mencuba untuk memulakan restoran tetapi proses di Itali agak perlahan, harapnya, tidak lama lagi!” katanya bergurau kepada FMT.

Dalam pada itu, sementara menunggu impian untuk membuka restoran menjadi kenyataan, dia merancang untuk bekerjasama dengan seorang rakan yang akan menjual masakannya yang terkenal di Malaysia.

“Bermula September saya akan berkolaborasi dengan seorang rakan yang mempunyai kiosk terkenal di sebuah taman di bandar.

“Saya akan menghidangkan makanan Malaysia dari kendera saji saya sementara dia akan menghidangkan panini dan koktel,” jelas Justin.

Sekiranya anda berada di Turin, Itali dan mengidam makanan Malaysia, cubalah Sate & Sake. Anda juga boleh melayari laman Instagram dan Facebook mereka di sini!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.