Mie Merdeka sanggup labur duit demi Jalur Gemilang

Mie Merdeka sanggup labur duit demi Jalur Gemilang

Tidak hanya Jata Negara dan ratusan bendera yang bergantungan, lukisan mural Jalur Gemilang turut terlakar indah di halaman rumahnya, menjadikan Hari Kebangsaan kali ini disambut lebih istimewa.

‘Mie Merdeka’ berpendirian suasana meriah ketika bulan kebangsaan ini wajar diwujudkan dan ditonjolkan oleh semua lapisan masyarakat walaupun negara masih dalam suasana pandemik. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Sejak dua dekad lepas, sudah menjadi rutin buat seorang peniaga untuk mengindahkan kedai makannya dengan ratusan Jalur Gemilang sepanjang bulan kebangsaan bagi menzahirkan semangat patriotisme terhadap tanah air.

Tidak lokek membelanjakan wang simpanan sendiri sekitar RM1,000 hingga RM2,000 setiap tahun, Wan Rahimi Wan Mokhtar, 59, akan memastikan setiap sudut kedainya yang terletak di Peramu, dihiasi bendera Malaysia yang direka dengan pelbagai bentuk lebih kreatif.

Namun, sedikit berbeza pada tahun ini apabila beliau yang masih menutup operasi kedai berikutan kebimbangan penularan Covid-19, mengubah lokasi hiasan Jalur Gemilang itu di sekeliling rumahnya yang terletak di Kampung Kempadang, di sini.

Tidak hanya Jata Negara dan ratusan bendera yang bergantungan, lukisan mural Jalur Gemilang turut terlakar indah di halaman rumahnya, menjadikan Hari Kebangsaan kali ini disambut lebih istimewa.

Dikenali sebagai ‘Mie Merdeka’ susulan sinonim dengan perhiasan Jalur Gemilang, beliau berpendirian suasana meriah ketika bulan kebangsaan ini wajar diwujudkan dan ditonjolkan oleh semua lapisan masyarakat walaupun negara masih dalam suasana pandemik.

Menerangkan lebih lanjut usaha yang dilakukannya, bapa kepada dua cahaya mata ini berkata beliau meminta bantuan seorang rakan yang mempunyai kemahiran dalam bidang seni untuk melukis dan mewarnakan mural Jalur Gemilang berkenaan.

“Bagi perhiasan bendera, ada yang saya gunakan bendera tahun lepas, ada juga yang dibeli baharu, untuk gantung bendera pula ada caranya dan bukan boleh sembarangan.

“Sebabnya, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain untuk dijadikan hiasan malah merupakan simbol kebanggaan negara yang telah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun pada tahun ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Tidak hanya kedai dan rumah dihias dengan Jalur Gemilang, anak jati Pahang ini turut memastikan van kesayangannya berwajah Jalur Gemilang sejak tiga tahun lepas.

“Pada era 1980-an hingga awal 1990-an, sambutan kemerdekaan bagi saya amat meriah jika dibandingkan masa kini, justeru saya berasa bertanggungjawab untuk membangkitkan kembali semangat dan suasana merdeka itu dengan cara sebegini.

“Saya menganggap hiasan ini sebagai komitmen setiap tahun. Ini merupakan cara saya mengekspresikan semangat cintakan negara, kalau tidak buat seolah-olah makan nasi tak kenyang,” katanya sambil berseloroh.

Beliau turut berkongsi perasaan apabila sering menerima kritikan daripada individu yang tidak senang hati dengan usaha yang dilakukannya sejak 20 tahun lepas.

“Macam-macam juga orang kata termasuk menyifatkan usaha saya ini sebagai membazir dan sebagainya, tapi saya buat tidak tahu saja kerana kalau nak dengar cakap orang kita tidak akan ke mana,” katanya.

Walaupun menerima banyak kritikan, katanya inisiatif yang dilakukan itu telah membuka peluang ke padanya untuk dicalonkan dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka mewakili negeri Pahang sebanyak enam kali.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.