
Seorang lelaki tergamak menjual anak lelakinya yang berusia dua tahun sebelum berjoli dengan wang terbabit untuk melancong ke seluruh negara, dalam kejadian di China.
Lelaki yang berasal dari Wilayah Zhejiang di timur China dipercayai menjual anaknya dengan harga 158,000 yuan (RM100,157) kerana dianggap sebagai beban kepada dirinya dan isteri baru.
Dia yang dikenali sebagai Xie itu mendapat hak penjagaan anak lelaki bernama Jiajia daripada bekas isterinya sebelum berkahwin lain.
Bagaimanapun, dia sering meninggalkan anaknya itu untuk dijaga oleh abangnya, Lin serta ahli keluarga lain di bandar Huzhou memandangkan tempat kerjanya agak jauh terletak di bandar lain.
Media berkenaan turut melaporkan, lelaki itu baru saja mengambil anaknya semula bulan lalu dan sempat memberitahunya bahawa ibu kandung ingin bertemunya.
Rupa-rupanya ia adalah helah semata-mata apabila Lin mendapat tahu kanak-kanak terbabit tidak pernah sampai ke destinasinya dan adiknya pula enggan membalas mesej.
Polis memaklumkan bahawa mereka akhirnya mendapat tahu Jiajia sebenarnya sudah dijual kepada pasangan yang tidak mempunyai anak di Changshu.
Menurut mereka, lelaki terbabit kemudiannya membawa isteri barunya bercuti ke seluruh negara menggunakan wang yang diperolehi itu.
Media tempatan melaporkan, dia kini sudah pun berjaya ditahan polis untuk siasatan lanjut manakala Jiajia diserahkan kembali untuk jagaan bapa saudaranya itu.
Xie dan bekas isterinya dikatakan mempunyai dua lagi anak perempuan yang diserahkan kepada keluarga lain namun laporan itu tidak menjelaskan sama ada dia turut disiasat atas kes berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]