‘Bye papa’, anak-anak lambai van bawa jenazah bapa

‘Bye papa’, anak-anak lambai van bawa jenazah bapa

Hantaran video memaparkan seorang wanita dan anak-anaknya hanya mampu melihat van jenazah suaminya, dipercayai pesakit Covid-19 melintas di depan rumah.

Dua anak-anak ini tidak menyedari bahawa bapa mereka sudah tiada. (Gambar Instagram)

Setiap yang hidup pasti akan mati. Namun, berdepan kematian insan tersayang akibat wabak Covid-19 yang telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia pastinya sesuatu yang tidak terluahkan.

Umum sedia maklum bahawa waris kepada jenazah pesakit Covid-19 tidak dibenar berada hampir, jauh sekali menguruskan jenazah seperti biasa.

Waris sekadar dapat menatap kelibat arwah dari jauh dan tidak berpeluang menyentuh mahupun mencium jenazah orang tersayang.

Demikian halnya dengan kisah seorang wanita yang difahamkan kehilangan suami tercinta akibat Covid-19 serta anak-anaknya yang tidak faham apa yang berlaku.

Jatuh air mata melihat perkongsian seorang pemilik akaun TikTok @raxxziey yang cukup menyentuh perasaan.

Kelihatan dalam video tersebut sebuah van membawa jenazah yang dipandu perlahan sebelum berhenti di hadapan rumah seorang wanita dipercayai isterinya.

Kedengaran esakan seorang wanita yang cuba menjelaskan kepada anak-anak kecilnya bahawa jenazah di dalam van tersebut adalah ayah mereka yang dipanggil papa.

“Papa,” katanya dalam derai air mata sebaik melihat van tersebut menghampiri dengan perlahan.

“Kejap-kejap mama dukung. Papa ni tau, papa tak ada dah,” katanya lagi sambil menjenguk ke dalam van.

Esakannya semakin kuat sebaik van tersebut mula bergerak meninggalkan mereka, kali terakhir kelibat suaminya dilihat.

“Bye papa,” demikian ucap anak-anak kecil yang masih tidak mengerti itu.

Hantaran yang turut dikongsi lebih 94,000 kali dan menerima 10,133 tanda suka di akaun Instagram @jom_dakwah itu mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet.

“Ya Allah, berilah kekuatan buat isteri dan anak-anak arwah,” kata Noorkamariah85.

Seorang warganet yang dipercayai saudara kepada keluarga ini turut berkongsi rasa sedihnya.

“Ini makcik sebelah suami saya. Anak dia yang kecil umur 2 tahun kembar, yang kakak 7 tahun. Semoga acik Nazri bahagia, semoga acik Siti kuat. Tak kuat aku,” katanya sayu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.