
Jika ditanyakan pada kaum wanita yang menjaga penampilan, pasti mereka ada banyak petua melebatkan bulu mata tersendiri.
Bagi yang tidak mempunyai banyak bulu mata, alternatifnya adalah menggunakan gam bulu mata atau bulu mata palsu.
Namun, jika inginkan impak yang tampak lebih ‘natural’, mungkin anda boleh mencuba petua berikut. Pun begitu, awas produk dengan bahan ini!
Petua melebatkan bulu mata cara semulajadi

Bulu mata sebenarnya dicipta untuk melindungi mata daripada anasir kecil dan jahat seperti debu, habuk, pasir dan lain-lain.
Ia bertindak sebagai pengesan yang akan membawa refleks kelopak mata untuk berkelip jika berdepan anasir tidak baik.
Namun, ada individu yang hanya mempunyai bulu mata halus atau kurang akibat kondisi seperti hypotrichosis.
Jika anda ingin melebatkan bulu, mungkin boleh cuba beberapa petua tradisional seperti berikut:
1. Minyak vitamin E
Meskipun belum dapat dibuktikan secara saintifik, ramai individu yang percaya bahawa minyak ini mampu memberi kesan positif pada bulu mata.
Ia mungkin didasari oleh faktor di mana vitamin jenis ini merupakan tonik semulajadi yang mampu melebatkan dan menguatkan rambut serta bulu.
2. Minyak zaitun
Minyak zaitun secara semula jadinya memang kaya dengan asid lemak yang boleh bertindak sebagai emolien untuk bulu mata yang sihat.
Ia bukan sahaja bagus untuk rambut dan bulu, malahan juga baik disapukan pada kulit bagi melembap dan melicinkannya.
3. Minyak kelapa

Selain minyak zaitun, minyak kelapa juga merupakan tonik semulajadi yang selalu digunakan untuk tujuan melebatkan bulu seperti rambut.
Ada kajian yang mengatakan bahawa penggunaannya sebelum dan selepas mencuci rambut, mampu membuat rambut kuat dan sukar gugur.
4. Mentega shea
Tidak pernah dengar tentangnya? Untuk pengetahuan anda, ia sangat kaya dengan antioksidan yang mampu meningkatkan kolagen kulit.
Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan boleh mengurangkan kerosakan radikal bebas dari persekitaran sekali gus menguat dan melebatkan bulu mata.
5. Serum
Antara cara yang paling terbukti oleh saintifik, sudah wujud pelbagai jenis serum yang bertindak sebagai tonik untuk melebatkan bulu.
Bulu di kawasan muka seperti rambut, misai, janggut, jambang, kening serta bulu mata mungkin boleh mendapat manfaat melaluinya.
Pun begitu, ada beberapa syarat yang anda perlu tahu sebelum menggunakan produk serum ini!
Awas produk dengan bahan ini!
Petua-petua yang kami telah nyatakan di atas tadi hanyalah sekadar cara atau usaha yang boleh anda cuba tanpa menjamin tahap keberkesanannya.
Ini kerana kebanyakan bahan-bahan itu masih belum dapat dibuktikan secara saintifik bahawa ia benar-benar mampu melebatkan bulu mata.
Selain itu, ada juga risiko di mana bahan-bahan tersebut boleh membawa bahaya terhadap mata.
Sebagai contoh, kebanyakan produk serum untuk melebatkan bulu di kawasan muka itu mengandungi sejenis bahan bernama jeli petroleum.
Jeli petroleum ini boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti berikut:
- Alahan kulit
- Jangkitan kulit
- Penyumbatan liang pori kulit
- Masalah sistem pernafasan
Disebabkan kebanyakan produk ini akan digunakan pada muka, maka wujud risiko bahawa kawasan sekitar kulit mungkin terjejas.
Begitu juga dengan kawasan di sekitar mata!
Ini kerana sudah jelas kebanyakan produk akan menyarankan pengguna dari mengelakkan sapuan di kawasan sekitar mata.
Gam bulu mata itu mungkin berbahaya?

Bagi mengelakkan bahaya bahan ini kepada mata dan kulit anda, maka adalah lebih baik untuk mengelakkan daripada menggunakannya.
Antara alternatif yang sebenarnya jauh lebih baik adalah dengan menggunakan teknik solekan untuk memanjangkan atau melebatkan bulu mata.
Pun begitu, solekan seperti ini akan menggunakan gam bulu mata bagi tujuan menyambung atau melekat bulu mata palsu jika perlu.
Apa yang bahayanya mengenai alat ini adalah ada risiko ia terlekat dengan kuat dan terlalu sukar untuk ditanggalkan.
Akibatnya, bulu mata asli anda berisiko untuk tercabut serta mengakibatkan kerengsaan pada kawasan kelopak mata.
Konklusinya, sila rujuk dengan doktor jika anda mahu mencuba sebarang petua melebatkan bulu mata ataupun sekadar cuma mahu menyolek kawasan tersebut.
Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]