Sowon minta maaf kerana gambar ‘patung Nazi’

Sowon minta maaf kerana gambar ‘patung Nazi’

Bintang K-pop cetus kemarahan dengan imej dikongsikan di media sosial

Gambar yang menjadi kontrovasi di kalangan peminat Sowon. (Gambar Instagram)

Bintang K-pop Sowon memohon maaf selepas memuat naik gambarnya bersama patung memakai seragam Nazi yang disebarkan di internet.

Gambar itu menunjukkan Sowon, atau nama sebenarnya Kim So-Jung, yang juga anggota kumpulan GFriend, memeluk patung berkenaan yang diambil di sebuah kafe pada November lalu ketika penggambaran video, lapor The Independent.

Sowon sudah memadamkan gambar itu dari akaun Instagramnya, dan pengurusannya berkata beliau bertanggungjawab penuh terhadap tindakannya itu.

Menurut BBC, Sowon, yang mempunyai lebih 800,000 pengikut di Instagram dikecam selepas gambar itu dikongsikan dan orang ramai mendesaknya memohon maaf di media sosial.

Kumpulan pengurusannya Source Music, berkata dalam kenyataan kepada CNN, Sowon terkejut dan terus memadam gambar itu sebaik mengetahui implikasi di sebaliknya.

Syarikat itu turut meminta maaf kerana penggunaan pakaian seragam Nazi itu dan berkata, kakitangan yang terbabit tidak menyedari perkara itu menjadi satu isu selain mengakui sepatutnya lebih berhati-hati memastikan tiada isu sejarah atau sosial yang sensitif.

“Sebagai peminat dari Poland saya sangat kecewa dengan gambar ini. Moyang saya terbunuh dalam kem Nazi. Saya tidak peduli sama ada dia mengetahui isunya atau tidak, perbuatan ini tidak boleh diterima,” kata seorang peminat di Twitter.

Namun, ada juga yang mempertahankan penyanyi itu kerana mungkin dia tidak memahami betapa pentingnya isu berkenaan.

“Bagi mereka yang menyalahkan Sowon, memang dia sepatutnya lebih maklum dan sejarah mengenai Hitler diajar di sekolah Korea, namun ada beza antara menyedari isu kekejaman Nazi dengan mengenali seragam mereka,” kata seorang lagi peminatnya.

Ini bukan kali pertama kumpulan K-pop mencetuskan kontroversi dengan isu berkaitan barangan Nazi. Pada 2018, BTS dikritik selepas anggotanya RM digambarkan memakai topi dengan lambang Nazi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.