Kurikulum prasekolah perlu diselaras, kata pakar

Kurikulum prasekolah perlu diselaras, kata pakar

Prof Mariani Md Nor turut saran martabat guru prasekolah diangkat sebagai profesion rasmi.

Prof Mariani Nor
Cadangan kurikulum prasekolah diseragamkan antara tujuh resolusi dikemukakan pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kurikulum prasekolah di semua institusi kerajaan dan swasta perlu diseragamkan bagi memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang setara, menurut pakar pendidikan, Prof Mariani Md Nor.

Pemangku naib canselor Universiti SEGi itu berkata, cadangan tersebut antara tujuh resolusi dikemukakan beliau pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ini, jelasnya, terdapat pelbagai kategori tadika seperti Kemas, Perpaduan dan swasta yang menggunakan kurikulum berbeza, sedangkan perbincangan menyeluruh telah dilakukan semasa merangka kurikulum prasekolah kebangsaan.

“Apa kata kita seragamkan kurikulum tersebut dan hapuskan ‘kasta’ dalam pendidikan prasekolah,” katanya sebagai panel Sesi 3: Memperkasa Pendidikan Prasekolah.

Mariani turut menyarankan kerajaan mengangkat martabat guru prasekolah sebagai profesion rasmi, menyamai sistem pendidikan luar negara yang meletakkan kerjaya itu di peringkat tinggi, termasuk sehingga ke tahap kedoktoran.

Beliau turut mencadangkan pemantauan kompetensi guru dilakukan secara berterusan dan pengukuhan sistem sokongan ibu bapa, terutama bagi kanak-kanak memerlukan perhatian khusus.

“Justeru, perlu ada pengukuhan sistem intervensi supaya anak-anak ini dapat dikesan di peringkat awal dan membolehkan kita membimbing mereka sama seperti kanak-kanak normal.”

Beliau turut menyarankan pelaksanaan pendidikan bersepadu melalui kaedah Pengetahuan Kandungan Pedagogi Teknologi menggunakan teknologi maklumat, di samping menekankan persekitaran pembelajaran inklusif dan berkualiti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.