
Saya beroleh satu kelebihan yang tidak tersangkakan di usia 5-6 tahun, apabila ibu bapa saya menghantar ke sebuah institusi pra-sekolah milik komuniti gereja di Melaka. Saya masih ingat di ‘sekolah makan’ ini — dahulu tadika dikenal sebagai ‘sekolah makan’ kerana banyak makan berbanding belajar — terletak begitu jauh di Banda Hilir, sementara saya masih menetap di kuarters perumahan kakitangan Hospital Melaka di Peringgit. Seringnya arwah bapa saya terlambat menjemput pulang, dan hati saya akan seram kecut.
Kelebihan di prasekolah itu membolehkan saya didedahkan dengan bahasa Inggeris lebih awal, meskipun di usia itu tidak banyak yang saya fahami, dan tentunya pergaulan dengan anak-anak dari bangsa lain, khususnya Cina dan India. Guru-guru saya para paderi, dan rasa-rasanya hanya 2-3 orang anak Melayu sahaja bersekolah di Sacred Heart itu.
Ketika saya menjejakkan kaki ke Darjah 1 di Sekolah Rendah Jalan Dato Palembang, yang dianggap antara sekolah rendah terbaik di Melaka waktu itu, mujur sekali apa yang sedikit lekat di prasekolah itu membantu saya berjuang sehingga Penilaian Darjah 5. Waktu saya, peperiksaan sekolah rendah dijalankan di Darjah 5. Syukur saya beroleh lima A untuk semua subjek dan sekolah kami berjaya menewaskan saingan terdekat pada tahun tersebut. Kalau tidak silap, 64 orang murid beroleh 5A, satu jumlah yang pada waktu itu sangat membanggakan.
Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pendidikan prasekolah dan Darjah 1 minggu ini akan memberi impak besar dan merubah lanskap pendidikan, politik, ekonomi dan budaya negara kita lima puluh tahun mendatang. Pendek kata dalam masa 10-15 tahun lagi, Malaysia akan sama sekali berbeza. Ini kerana pendidikan prasekolah bukan sekadar isu kanak-kanak, tetapi berkait rapat dengan kesejahteraan keluarga, penyertaan wanita dalam tenaga kerja, dan kestabilan sosial.
Ada yang baik, dan ada yang tidak baik dalam hal mewajibkan pendidikan prasekolah di usia 5 tahun. Seperti yang saya perikan di atas, pendidikan prasekolah adalah satu pelaburan sosial yang penting. Jelas sekali, dasar kerajaan ini pasti memberi kelebihan kepada kelompok kelas menengah dan atasan. Akan tetapi ia tentu membuat kelompok B40 mencungap.
Apa yang diumumkan oleh PM itu memang jelas satu langkah pembaharuan struktur dalam sistem pendidikan negara, khususnya bagi memperkukuh keadilan sosial dan mobiliti ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40). Ini kerana pertengahan tahun lalu lagi kerajaan memberi isyarat kecil untuk memperkasakan sistem pendidikan prasekolah di mana lebih banyak prasarana pendidikan ini akan diwujudkan di sekolah kerajaan. Kerajaan menegaskan dasar itu demi memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi melalui pelaburan awal terhadap modal insan.
Suka atau tidak hari ini, pendidikan prasekolah bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya keperluan asas dalam dunia moden. Pada tahun 2023, laporan Bank Dunia memaparkan kadar kemasukan prasekolah di Malaysia sekitar 86%, yang mana baki yang tercicir itu majoritinya daripada keluarga B40 kerana kekangan kewangan. Di kawasan bandar juga keciciran ini berlaku tetapi lebih kerana kekurangan prasekolah awam lantas menyebabkan ibu bapa terpaksa menghantar anak ke tadika swasta dengan yuran bulanan yang tinggi. Akibat dari itu keluarga miskin dan berpendapatan sederhana akan terbeban.
Oleh itu apabila kerajaan berhasrat mengambil alih dan mengurus sepenuhnya pendidikan prasekolah pada usia lima tahun, ia isyarat satu tindakan intervensi negara yang kritikal. Tujuan kerajaan untuk menjamin akses saksama kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar sosioekonomi.
Pendidikan prasekolah di negara kita tidak bermula dalam kerangka keadilan sosial. Di tahun-tahun 1950-an sehingga 1970-an, prasekolah hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan tinggi serta ditawarkan oleh institusi swasta dan keagamaan (dalam konteks pengalaman saya, Kristian). Intervensi kerajaan hanya ternampak nyata dan lebih tersusun pada awal 1970-an melalui penubuhan Tabika Kemas dan Tabika Perpaduan, yang tujuannya untuk meluaskan akses pendidikan awal khususnya di luar bandar dan menggalakkan integrasi kaum. Namun, walaupun banyak agensi ikut terlibat, masih pendidikan prasekolah belum begitu menyeluruh, terutama di kawasan bandar padat. Golongan desa juga belum mengecapi hak ini secara padu, satu pengabaian yang dengan segera diambil alih oleh parti pembangkang PAS dengan tawaran tadika Pasti yang murah, dan persekitaran keagamaan.
Pada 1996, pendidikan prasekolah diserap dalam sistem pendidikan kebangsaan. Terdapat sekolah kerajaan ikut menawarkan pendidikan awal ini namun ia masih sangat terhad memandangkan prasarana dari segi fizikal dan modal insan iaitu guru berpengalaman dan berkelayakan masih dianggap jarang-jarang.
Perlu ditekankan aspek prasarana dan kelayakan guru ini sama sekali tidak boleh dipandang remeh. Pembinaan kelas prasekolah di sekolah KPM sedia ada termasuk di sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah vokasional hanyalah satu penyelesaian jangka pendek demi menampung peningkatan mendadak kemasukan murid. Apa yang kita khuatiri adalah pembinaan kelas prasekolah ini dilakukan tergesa-gesa sehingga tidak menimbang ehwal pedagogi, atau guru prasekolah pula tidak berkelayakan sepatutnya. Yang perlu diambil kira adalah, tanpa pelaburan serius dalam latihan guru, matlamat meningkatkan kualiti pendidikan awal ini akan gagal dicapai.
Ada banyak pertanyaan akan terus dilontarkan hari demi hari dan bulan demi bulan selepas ini. Misalnya, perlukah keseragaman silibus pendidikan awal kanak-kanak di ketika ibu bapa mengejar anak di umur 6 tahun perlu masuk Darjah 1? Bagaimana menyeragamkan silibus tadika kerajaan, tadika swasta yang menekankan bahasa Inggeris, tadika swasta yang menekankan pendidikan Cina, dan tadika swasta yang menekankan Melayu-Islam seperti terlihat pada Pasti? Bagaimana pula kerajaan akan menyelesaikan isu kesesakan sekolah kelak? Adakah guru yang mengajar akan tangkap muat? Ini kerana hari ini di sekolah rendah dan menengah tertentu, ada guru yang bukan mahir dalam mata pelajaran terpaksa mengajar subjek bukan kepakarannya. Bagaimana pula memastikan kelompok B40 tidak tercicir khusus di pedalaman? Bantuan kewangan yang diumumkan tahun lalu untuk menampung pendidikan prasekolah masih dapat dianggap terhad.
Seperti yang saya nyatakan, pendidikan prasekolah adalah pelaburan sosial paling strategik negara. Ia bukan sahaja mempersiapkan kanak-kanak untuk Tahun 1, tetapi menyediakan guru sekolah rendah para murid yang lebih bersedia dan berdisiplin. Juga diharapkan ia boleh membuka laluan kepada sistem pendidikan yang lebih inklusif, berkesinambungan dan adil.
Dasar pendidikan yang diumumkan perdana menteri minggu ini berpotensi menjadi antara legasi terpenting reformasi pendidikan negara, khusus dalam usaha membina Malaysia yang lebih saksama, yang mana ia kini satu keperluan moral dan nasional.
Akan tetapi ini semua hanya angan-angan dan impian jika perencanaannya tidak dilaksanakan dengan teliti dari segi prasarana, kurikulum, latihan guru dan sokongan kewangan. Jika bangunan kelas pun tidak cukup, kurikulum pun tidak canggih, guru pula tidak berkelayakan, dan kewangan untuk menyokong aktiviti dan pelan pendidikan ini pula terhad, kita bimbang dasar ini terbengkalai di pertengahan jalan dan mengganggu gugat hasrat murni.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.