Kembalikan UPSR, PT3 hanya beri tekanan sosial, dakwa NUTP

Kembalikan UPSR, PT3 hanya beri tekanan sosial, dakwa NUTP

Setiausaha Agungnya Fouzi Singon menegaskan usaha membangunkan penguasaan literasi dan numerasi jauh lebih mendesak untuk tingkat pembelajaran.

pt3 exam sekolah
Fouzi Singon berkata mengembalikan peperiksaan standard tak jamin selesai masalah literasi dan numerasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mendakwa cadangan mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) hanya mewujudkan lebih banyak tekanan sosial berbanding peningkatan pembelajaran.

Setiausaha Agungnya Fouzi Singon menegaskan usaha membangunkan penguasaan literasi dan numerasi jauh lebih mendesak berbanding mengembalikan semula peperiksaan UPSR dan PT3.

fouzi singon
Fouzi Singon.

Katanya, lebih 122,000 murid masih gagal menguasai asas membaca, menulis dan mengira.

“Mengembalikan semula peperiksaan standard tidak menjamin masalah itu akan dapat diselesaikan. Sekolah rendah perlu fokus kepada literasi dan numerasi dahulu.

“Bebaskan murid daripada gagal menguasai kemahiran asas ini. Adakah UPSR boleh menyelesaikan ini? Belum tentu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang kementeriannya akan segera mengkaji semula keperluan mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3

Fadhlina berkata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah diarahkan untuk mengkaji keperluan untuk mengembalikan peperiksaan itu.

Kabinet akan membuat keputusan selepas kajian dibuat.

UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala PT3 setahun selepas itu dengan digantikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Mengulas lanjut, Fouzi berkata ketiadaan UPSR bukan bermakna murid tidak dinilai, sebaliknya penilaian wujud tetapi tidak standard.

Beliau mencadangkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mewujudkan jadual penilaian kebangsaan yang seragam tanpa perlu menghidupkan semula peperiksaan besar.

“Ada ibu bapa bangga bila anak dapat 6A, tapi bagaimana perasaan ibu bapa yang anaknya tidak dapat A. Sampai ada yang segan keluar rumah. Tekanan ini bukan datang daripada murid, tetapi daripada budaya perbandingan.

“Manakala ekosistem perniagaan pendidikan seperti penulis buku kerja dan pusat tuisyen turut menggalakkan mentaliti peperiksaan secara berlebihan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat desakan beberapa pihak supaya KPM mengembalikan UPSR serta PT3 kerana mendakwa ketiadaan peperiksaan itu menyumbang kepada keciciran pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pada Okt tahun lalu berkata prestasi SPM kekal stabil walaupun UPSR dan PT3 dimansuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.