Biasiswa kerajaan ‘talian hayat’ kepada pelajar memerlukan

Biasiswa kerajaan ‘talian hayat’ kepada pelajar memerlukan

Kementerian Pendidikan Tinggi perluas rangkaian biasiswa dan program bantuan kewangan bagi meningkatkan akses kepada peluang pendidikan.

universiti
KAPSYEN: Bahagian Biasiswa Kementerian Pendidikan Tinggi kekal komited memastikan semua pelajar yang layak menerima bantuan kewangan disediakan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Setiap tahun ribuan pelajar cemerlang berdepan dilema sama iaitu bercita-cita melanjutkan pengajian namun tidak mampu dari segi kewangan.

Kebanyakan mereka khususnya daripada keluarga B40, kawasan luar bandar atau golongan orang kurang upaya terpaksa menamatkan pengajian akibat kekangan kewangan atau kekurangan maklumat mengenai bantuan yang tersedia.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan pelbagai peluang tajaan, khususnya untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Antara program tajaan disediakan adalah Bantuan Kewangan Asasi Universiti Awam, Dermasiswa B40 TVET bagi pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda serta Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti.

Selain itu, kementerian juga menyediakan tajaan melalui program MyBrainSc dan MyBrain 2.0 bagi menggalakkan pembelajaran lanjutan serta penyelidikan di peringkat pascasiswazah.

Bahagian Biasiswa KPT yang bertanggungjawab menguruskan tawaran penajaan pelajar, kekal komited memastikan semua pelajar layak yang memenuhi kriteria ditetapkan menerima bantuan kewangan disediakan.

Tajaan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar supaya mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian dan menamatkan program masing-masing dengan jayanya dalam tempoh ditetapkan.

Ubah peluang jadi masa depan yang cerah

Bagi Tasmithaa Chandran, pelajar perakaunan di Politeknik Port Dickson, Dermasiswa B40 TVET menjadi ‘talian hayat’ selepas keluarganya berdepan kesusahan ketika pandemik.

“Semasa pandemik, ayah saya meninggal dunia dan emak saja yang menyara kami. Saya berdepan kesukaran untuk meneruskan pengajian. Malah, rakan pernah meminjamkan duit kepada saya.

“Selepas terima biasiswa ini, saya akhirnya dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dengan tenang. Saya dapat beli buku, hadir kelas tambahan dan belajar dengan lebih baik. Ia benar-benar mendorong saya untuk berusaha lebih gigih dan memberi sumbangan semula kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, penuntut Universiti Putra Malaysia, Izzul Hakimi Rosli, yang mengalami masalah penglihatan berkata Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) menawarkan peluang kepadanya melanjutkan pengajian dalam bidang agrobisnes.

“Saya mendaftar sebagai pelajar OKU dan pensyarah memperkenalkan kepada program BKOKU. Bantuan ini membolehkan saya memberi tumpuan kepada pelajaran tanpa perlu risau tentang kos. Sebelum ini, saya terfikir untuk cari kerja sambilan hanya untuk membeli buku,” katanya.

Izzul berkata, sokongan yang diterima membawa makna lebih besar daripada sekadar bantuan kewangan.

“Ia meyakinkan saya yang pelajar OKU juga ada peluang untuk sambung pengajian dalam apa jua bidang diminati, dan kerajaan tidak meminggirkan kami,” katanya.

Tasmithaa dan Izzul adalah contoh terbaik kepada visi besar di sebalik inisiatif kementerian – menjadikan pendidikan sebagai alat pemerkasaan dan jaminan masa depan untuk generasi muda Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.