
Masih mengekalkan platform mencari bakat-bakat cilik tanah air dalam mempersembahkan kehebatan nyanyian mereka sekaligus membantu menggapai cita-cita mereka untuk menjadi sebahagian dari pelapis industri seni di masa akan datang.
Tambah menarik, ‘Ceria Popstar’ musim ini tampil lebih hebat dan unik apabila menyuntik elemen kolaborasi mega dengan program-program terhebat terbitan Astro seperti ‘Maharaja Lawak Mega’ dan ‘Gegar Vaganza’.
Menggabungkan genre komedi yang sarat dengan gelak tawa, program ini menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih segar dan kompak serta diyakini mampu menawan hati penonton yang sentiasa menginginkan pembaharuan dalam sajian kandungan yang ditawarkan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong, sajian kandungan yang ditawarkan kepada penonton kali ini adalah lebih segar, penuh variasi dan kreatif serta menarik bagi membantu menghiburkan hati semua yang menontonnya.
“Kami juga turut teruja apabila program ‘Ceria Popstar’ musim ini diraikan dengan kehadiran tenaga pengajar yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing.
“Kami juga yakin, keputusan produksi untuk menyuntik elemen komedi juga wajar dipuji kerana kami lihat, aspek gelak tawa dalam sesebuah program memainkan peranan penting dalam memenangi hati penonton terutamanya di kala dunia sedang mengharungi fasa pandemik ini,” ujarnya.
Dihoskan oleh Danial Zaini bersama Shiha Zikir, ‘Ceria Popstar’ turut membariskan nama-nama hebat sebagai tonggak utama di sebalik produksi besarnya di mana tugasan Guru Vokal dipertanggungjawabkan kepada penyanyi dan ‘award-winning’ komposer, Hael Husaini dan Juara Gegar Vaganza (GV) musim kelima, Noryn Aziz.
Manakala, Siti Nordiana dan Naqiu diberi kepercayaan untuk bertindak sebagai ‘Inspirer’ atau idola inspirasi kepada bakat-bakat yang terpilih.
Dalam pada itu, penyanyi, MimiFly pula ditugaskan sebagai Guru Koreografer untuk membantu dari aspek gerak tari peserta.
Buat julung kalinya, Nabil Ahmad tidak lagi mengacarakan program ini, malahan kini beliau berada di posisi Juri Tetap bersama Dato’ AC Mizal, Elly Mazlein dan Ernie Zakri.
Seramai 10 orang peserta bakal beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing seterusnya merebut gelaran terulung, ‘Juara Ceria Popstar 2021’ dan membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai!
Juara musim ini akan membawa pulang wang tunai sejumlah RM20 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat pula masing-masing akan memenangi RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Ceria Popstar akan bersiaran pada setiap hari Rabu mulai 9 Jun ini, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria (611) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]