Pelbagai bakat dan hobi ‘ditemui’ semasa pandemik

Pelbagai bakat dan hobi ‘ditemui’ semasa pandemik

Hasil dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keluarga bersatu, yang dulunya sibuk bekerja di pejabat kini mempunyai banyak masa di rumah sehingga menyerlahkan segala hobi dan bakat terpendam.

PKP memberi peluang kepada Mazuin (kiri) dan Farahat untuk meneruskan pembuatan roti sebagai pasukan suami isteri. (Gambar Mazuin)
PETALING JAYA:
Tahun 2020 memberi banyak impak dan perubahan dalam hidup kita. Pelbagai pengajaran dan pengalaman baru kini kita lalui hasil dari pandemik Covid-19.

Selain kesan negatif, pandemik turut memberi kesan positif kepada kebanyakan kita. Hasil dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keluarga bersatu, yang dulunya sibuk bekerja di pejabat kini mempunyai banyak masa di rumah. Hobi dan bakat tersembunyi mula dikeluarkan dan ada yang menjana pendapatan darinya.

Seperti individu-individu berikut, PKP memberi peluang kepada mereka untuk mengasah bakat yang lama terpendam.

Membuat roti bersama

Bagi pasangan suami isteri Tunku Farahat Hussein dan Mazuin Mutalib, hobi dan bakat terpendam mereka tanpa disangka telah memberi pendapatan sampingan. Malah, ia turut mendapat permintaan berterusan dari jiran-jiran dan kini berkembang menjadi perniagaan mikro.

Mazuin, 47 yang menghabiskan puluhan tahun bekerja dalam pendidikan kanak-kanak mengguna hobinya membakar kek dan biskut hanya sekadar suka-suka. Malah, dia turut menarik Farahat yang bekerja di syarikat korporat ke dalam hobinya.

Tetapi apa yang tidak disangka oleh pasangan itu adalah adunan roti mereka kini mencapai tahap perniagaan.

Roti yang menjadi permintaan ramai pelanggan. (Gambar Mazuin)

“Apabila anda melakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas, anda akan merasa begitu teruja dan gembira terutamanya bila mendapat ulasan yang baik darinya,” ujar Mazuin tersenyum sambil menambah bahawa hobinya kini seperti mempunyai seorang bayi baru yang kini dipanggil Y2BAKE.

Sementara Farahat menguruskan bahagian roti keras, Mazuin sibuk menyiapkan roti yang lembut berikutan permintaan dari pelanggan yang lebih berusia.

“Roti yang lebih lembut mempunyai gula merah mentah dan kadang-kadang mentega dan susu di dalamnya,” dia mengulas sambil menceritakan bagaimana dia menjdi lebih berani menambah keju gouda, zaitun atau “cranberries” untuk menambah variasi.

Pembuatannya tidaklah begitu rumit hanya memerlukan masa dan kesabaran. (Gambar Mazuin)

Menurut Mazuin, bahan asas yang diperlukan hanyalah tepung, garam dan air.

“Membuat roti ini tidak rumit tetapi memerlukan masa dan kesabaran kerana ragi komersial tidak digunakan. Kita bergantung pada ragi semulajadi yang sudah ada di tepung dan udara di sekitar kita,” ujarnya.

Menyulam di waktu santai

Elizabeth Yeoh mengisi masa sewaktu PKP dengan menyulam. (Gambar Elizabeth)

Bagi pendidik awal kanak-kanak, Elizabeth Yeoh Yuan Min, 25, sulaman yang begitu asing baginya kini telah beralih menjadi hobi. Semuanya dipelajari dari YouTube dan kini dia sukar untuk meninggalkan hobi barunya itu.

“Saya tidak pernah mencuba sulaman walaupun saya pernah menjahit boneka tangan kanak-kanak kerana itu kerja saya,” katanya.

Yeoh yang juga seorang ulat buku turut berminat bermain piano dan ukulele. Bagi Yuoh sewaktu PKP adalah masa yang tepat untuk dia memulakan minatnya dalam sulaman.

Bahan sulaman didapati dari Shopee. (Gambar Elizabeth)

Yeoh memperoleh bahan-bahan sulamannya dari kedai dalam talian, Shopee. Dia kemudian akan membuat pelbagai jenis sulaman untuk beg kain, baju tidur dan sarung bantal.

“Saya jenis orang yang suka membuat aktiviti yang santai. Tetapi saya tidak fikir saya akan menjadikan ia perniagaan kerana itu mungkin membuat saya rasa tertekan,” ujarnya sambil tertawa.

Menyerlah impian

Esther akhirnya menemui masa semasa PKP untuk mengembangkan bakat yang telah lama terpendam. (Gambar Esther)

Bagi pembuat filem bebas, vokalis dan penulis, Esther Josh, 28, minatnya terhadap rap akhirnya mencapai puncak.

“Saya selalu terpikat dengan rap. Saya sering menyanyi dan menulis lagu sendiri, tetapi rap adalah sesuatu yang berbeza,” ujarnya yang berasal dari Kepong.

Dia mengakui tidak pernah berani meneroka seni ini sebelumnya, bukan kerana sukar tetapi kerana rap selalunya dimonopolikan oleh lelaki.

“Kebanyakan “rapper” adalah lelaki dan bagi saya “rapper” wanita hanya segelintir dan tidak dipandang. Oleh itu, saya tidak pernah mahu menceburkan diri sehinggalah saya bertemu dengan “rapper” Amerika-India, Raja Kumari. Dialah yang memberi inspirasi kepada saya untuk membawa bakat saya lebih jauh,” jelasnya.

Terima kasih kepada PKP, impian menjadi “rapper” akhirnya tercapai. (Gambar Esther)

Walau bagaimanapun, hobi baru Esther, tidak dapat berkembang berikutan dengan pandemik, namun, dia tidak putus asa dan mempunyai pelbagai perancangan untuk mengembangkan bakatnya.

“Saya telah menulis kira-kira 11 lagu dan saya telah mula berkolaborasi dengan artis baru yang lain. Beberapa lagu sedang dalam proses dan saya sememangnya memikirkan untuk melakukan perkara ini dengan serius”, katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.