
Pengusaha labu sayong, Izuddin Isham, 28, menggunakan hasil kreativitinya menggunakan tanah liat untuk menghasilkan watak-watak patung anime ini.
Minat yang mendalam dalam seni kraf seramik ditambah dengan kegemaran menonton cerita-cerita animasi Jepun mendorong Izuddin menghasilkan patung kenit tempah khas sebagai produk sampingan.
“Saya sudah terbiasa dan mempunyai hobi menghasilkan patung kenit seperti ini sejak usia kecil hingga mengambil inspirasi daripada siri kartun animasi yang ditonton di televisyen.
“Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya cari peluang mendalami bidang ini untuk dijadikan bidang kerjaya,” katanya yang telah berpengalaman empat tahun membuat barangan kraf seramik ini.

Antara watak patung kenit berketinggian kira-kia 10 sentimeter yang mendapat permintaan tinggi ialah Wargreymon daripada animasi Digimon, Groudon (Pokemon) dan Gomora (raksasa daripada siri Ultraman) yang dijual dengan harga RM20 hingga RM40.
“Walaupun mengguna bahan yang sama, teknik pembuatan ‘figurine’ (patung kecil) dan labu sayong tidak sama, “figurine” banyak menggunakan teknik seperti picit dan cubit menggunakan jari yang lebih rumit dan teliti berbanding labu sayong yang menggunakan teknik “slip casting” (acuan).
“Selain senang dibawa, saiz patung yang kecil juga mempunyai risiko pembuatan yang lebih rendah kerana patung yang besar lebih berisiko untuk pecah ketika proses pembakaran atas faktor kepadatan tanah,” jelasnya.
Pemegang Diploma Seni Kfar Seramik Institut Kraf Negara itu berkata patung seramik berbentuk robot dan kenderaan merupakan antara yang paling sukar dihasilkan kerana ada ciri-ciri yang lebih rumit untuk ditiru selain memerlukan peralatan khusus.
Bagi proses mewarna pula, dia menggunakan warna ‘stain’, ‘shining glaze’ dan ‘matt glaze’ yang dilakukan selepas proses pembakaran secara manual sama ada menggunakan berus, teknik semburan atau celupan mengikut kesesuaian bahan.
“Warna ‘shining glaze’ akan menghasilkan efek seperti kaca manakala ‘matt glaze’ pula akan menghasilkan warna sekata,” katanya yang mengambil masa lima minit hingga dua jam untuk menyiapkan setiap patung tersebut.
Izuddin yang juga pemilik perniagaan Izzue Craft ini turut menghasilkan produk seramik seperti lampu hiasan, pembahagi air serta pelbagai cenderahati perkahwinan seperti tepak sirih, turut berharap untuk mengembangkan pasaran pada masa depan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]