
Aksi yang penuh debaran itu menyaksikan ‘The Poket Roketman’ mengerah seluruh tenaganya untuk memberikan yang terbaik namun terpaksa akur dengan pelumba Great Britain, Jason Kenny yang meraih emas dan juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen membawa pulang gangsa.
Sememangnya perjuangan Azizul bukanlah sesuatu yang mudah, perjalanannya penuh dengan kisah suka duka.
Linangan air mata dari bapa kepada dua cahaya mata ini sewaktu menceritakan kisah perjalanannya meninggalkan emosi kepada rakyat Malaysia.
“Masa saya kayuh tadi saya teringat anak-anak saya dan isteri, mak dan ayah serta keluarga saya.
“Semasa saya terbang ke Tokyo, saya dapat tahu ayah saya masuk ke hospital kerana serangan ‘mild stroke’. Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus pada Olimpik,” katanya sebak.
Menurut Azizul, dia tidak mempunyai pilihan selain memikirkan tanggungjawab terhadap negara.
“Saya harap mereka semua tidak kecewa dengan keputusan ini. Saya sudah buat yang terbaik untuk mereka, untuk rakyat Malaysia dan untuk negara,” ujarnya yang kelihatan sedih.
Namun, kekecewaannya itu terubat apabila Azizul dikejutkan dengan khabar gembira bahawa dia bakal menimang cahaya mata ketiga yang sekaligus membuatkan Azizul tergamam seketika lalu terus melakukan sujud syukur.
Berita tersebut disampaikan oleh wartawan Astro Arena, Bazly Azmi yang diamanahkan untuk menyimpan rahsia itu dari isteri Azizul, Datin Athiah Ilyana Abd Samat yang kini hamil anak ketiga mereka.
Azizul dan Athiah Ilyana berkahwin pada 30 Januari 2010 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Amna Maryam, 8, dan Amna Khadeeja, 5. Mereka sekeluarga kini menetap di Melbourne, Australia.
Sebelum ini, Azizul meraih gangsa pada Olimpik Rio 2016.
Ia merupakan pingat kedua dan terakhir buat Malaysia bagi edisi Olimpik kali ini. Malaysia sebelum ini memenangi gangsa menerusi beregu badminton, Aaron Chia dan Wooi Yik.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]