
Kopitiam, kedai kopi, warung kopi, atau apa saja anda gelar premis perniagaan ini, memang cukup sebati dengan gaya hidup rakyat Malaysia.
Setiap pagi, khususnya sewaktu hujung minggu, kopitiam-kopitiam di seluruh negara akan penuh sesak dengan pelanggan-pelanggan dari segenap isi masyarakat yang datang untuk menikmati secangkir kopi.
Kopitiam di rumah
Oleh sebab kita semua kini mempunyai masa terluang yang agak banyak, apa kata kita sama-sama ambil peluang ini dan cuba satu kemahiran baru.
Apa kata untuk berbuka dan Hari Raya nanti, kita nikmati minuman kopitiam sendiri.
Jadi, mari kita mulakan kelas membuat minuman kopitiam dengan 5 minuman yang cukup popular di kopitiam.
1. Teh Tarik

Bahan-bahan:
- 1 liter air
- 1 1/2 sudu besar serbuk teh
- 1 uncang teh hitam tempatan
- 1/4 cawan susu pekat manis
- 2 sudu besar susu cair
- 1/4 sudu teh garam
Cara-cara:
- Dalam periuk sederhana besar, masukkan air dan didih sampai air menggelegak. Pastikan api sederhana besar.
- Masukkan teh dan kacau. Biar terseduh selama 3 -5 minit.
- Masukkan susu pekat manis, susu cair dan garam. Kacau dan biar mendidih selama 3 minit.
- Rasa dan suaikan menurut citarasa anda.
2. Kopi Cham

Kopi Cham merupakan minuman yang cukup unik. Minuman klasik kopitiam ini dihasilkan dengan menggabungkan rasa teh (cham) dan kopi.
Rahsia untuk menyediakan kopi cham yang enak ialah keseimbangan antara rasa teh dan kopi serta jenama kopi dan teh yang anda gunakan.
Bahan-bahan:
(Untuk 3 cawan)
- 2 uncang kopi
- 2 sudu besar serbuk teh
- 3 cawan air panas
- 4 sudu besar susu pekat manis
Cara-cara:
- Campur kesemua bahan-bahan di atas ke dalam periuk.
- Masak atas api hingga mendidih.
- Tapiskan air ke dalam teko dan campurkan susu pekat manis.
- Sesuaikan rasa dan hidangkan.
3. Kopi Peng

Bahan-bahan:
- 250ml air
- 1 paket kopi kampung atau 2 sudu besar kopi kampung
- 3 sudu besar susu pekat manis
Cara-cara:
- Dalam periuk, didihkan air atas api sederhana besar. Tunggu hingga menggelegak kira-kira 2 minit.
- Masukkan serbuk kopi. Kalau anda nak rasa kopi yang lebih lemak, masukkan 1/4 sudu besar mentega cair panas dan kacau dengan serbuk kopi hingga sekata.
- Biar serbuk kopi terseduh selama 1-2 minit. Kalau anda nak kopi anda lebih pekat, masukkan 1/2 sudu besar serbuk kopi lagi. Padamkan api.
- Masukkan air kopi panas ke dalam cawan.
- Masukkan susu pekat manis dan kacau. Jika anda puas dengan kepekatan dan rasa manis, masukkan ais dan siap!
4. Neslo

Rakyat Malaysia memang cukup menggemari minuman-minuman kopitiam ‘hybrid’ seperti neslo. Neslo merupakan minuman ‘hybrid’ kopi dan coklat. Dalam erti kata lain, neslo ialah ‘mocha’ di kedai-kedai kopitiam.
Bahan-bahan:
- 2 sudu besar serbuk Milo
- 1 sudu besar serbuk Nescafe Classic
- Susu pekat secukup rasa
- Setengah gelas air panas
- Ais
Cara-cara:
- Campurkan serbuk Milo dan Nescafe Classic ke dalam gelas.
- Masukkan air panas setengah gelas.
- Campurkan susu pekat secukup rasa.
- Guna gelas kosong untuk “tarik” Neslo panas tersebut sehingga mengeluarkan buih.
- Masukkan ais secukupnya. Neslo sudah sedia untuk diminum.
- Milo Tabur

Milo. Apakah identiti kita sebagai rakyat Malaysia tanpa Milo? Milo merupakan sebahagian daripada nostalgia zaman persekolahan kita semua. Jadi, tidak sah kalau resepi minuman klasik ini tak dikongsi.
Oleh sebab pemilik-pemilik kopitiam tempatan tahu kepentingan Milo dalam hidup kita, mereka telah menambah baik resepi minuman Milo sedia ada dengan meningkatkan tahap ‘kaw’ Milo dengan menyediakan minuman dipanggil ‘Milo Tabur’.
Bahan-bahan:
- 4-5 sudu besar serbuk Milo
- 250ml susu sejuk
Cara-cara:
- Masukkan 2 sudu besar Milo ke dalam gelas.
- Tuangkan susu.
- Masukkan 2 hingga 3 sudu besar Milo lagi.
- Sedia untuk dinikmati.
Nah, itu dia 5 minuman kopitiam yang anda boleh sediakan di rumah. Tak susah pun, kan. Selamat mencuba!
Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]