
Pilihan makanan boleh memberi kesan sama ada anda akan tidur nyenyak atau sebaliknya.
Jika anda sukar untuk lena atau bangun dalam keadaan letih, mungkin perlu ingat kembali apa yang anda makan sebelum tidur.
Beberapa tabiat ini perlu dielakkan jika anda ingin menjaga kualiti tidur yang terbaik.
1. Banyak mengambil minuman berkafein
Minuman berkafein boleh mengganggu tidur apabila diambil sehingga enam jam sebelum tidur, kata satu kajian.
Kafein menggangu fungsi bahan kimia dikenali sebagai adenosin yang mempunyai sifat sedatif dan akan memberi isyarat kepada otak untuk tidur.
Bahan perangsang itu juga boleh mengganggu ritma sirkadian yang melambatkan tidur.
Selain kopi, kafein terkandung dalam teh, minuman ringan, minuman bertenaga serta coklat.
2. Makan dalam kuantiti terlalu banyak
Pasta dan daging steak mungkin membangkitkan selera sesiapa saja apatah lagi jika terlalu lapar.
Namun, makan terlalu banyak boleh menyebabkan kembung perut sekali gus menyukarkan untuk tidur dan sering terjaga.
Lemak mengambil masa yang lama untuk dihadam dan boleh menyebabkan ketidakselesaan ketika anda baring.
Cuba elakkan makan malam dengan makanan berlemak tinggi dan tunggu sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.
Pakar pemakanan, Vandana Sheth berkata, cuba jangan hanya duduk bersandar sebaliknya lakukan regangan atau bergerak aktif sebaik selesai menikmati hidangan.
3. Terlalu banyak makanan manis
“Elakkan snek tinggi gula sebelum tidur kerana ia boleh mengganggu tidur. Kajian menunjukkan pengambilan gula terlalu tinggi boleh menyebabkan wanita menopaus berpeluh malam,” kata pakar pemakanan, Nancy Z. Farrell Allen.
4. Makanan pedas
Makanan pedas boleh menyebabkan pedih ulu hati sekali gus menyukarkan seseorang untuk tidur serta berasa tidak selesa.
Hadkan pengambilan makanan bercili, kari dan makanan pedas lain.
Selain itu, makanan tinggi asid khususnya minuman ringan juga boleh menyebabkan anda sering terjaga malam.
5. Terlalu banyak minum air
Minum terlalu banyak air pada waktu petang boleh meningkatkan kekerapan anda ke tandas sekali gus terjaga malam. Cuba elakkan minum air banyak sebelum tidur supaya anda tidak terganggu.
6. Terlalu mengehadkan pengambilan kalori pada siang hari
Ada sesetengah orang mengawal pemakanan terlalu ketat pada waktu siang dan mula berasa lapar sebelum tidur. Ini boleh mengganggu mereka untuk lena.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]