
Bermula esok, selama sebulan umat Islam di seluruh dunia akan mula berpuasa menahan lapar dan dahaga untuk tempoh lebih 12 jam. Di sesetengah negara, tempoh berpuasa mungkin lebih panjang.
Sememangnya berpuasa memberikan pelbagai manfaat kepada kesihatan dan ia boleh diperolehi jika dilakukan dengan cara yang menyihatkan.
Berikut adalah beberapa tips penjagaan kesihatan sepanjang Ramadan yang dapat membantu anda menjalani ibadah berpuasa dengan lebih baik lagi.
1. Jadual waktu makan
Kebiasaannya, kita akan mengambil hidangan makanan sebanyak tiga kali sehari, di bulan Ramadan juga perkara yang sama dilakukan walaupun ada perbezaan waktu.
Kita tetap mengambil tiga kali hidangan makanan, di mana pengambilan sahur adalah diibaratkan seperti sarapan, waktu berbuka puasa adalah untuk makan tengahari dan hidangan makan malam adalah pengambilan moreh atau selepas bertarawih.
Namun, perlu diingat jumlah pemakanan yang diambil haruslah berpatutan dan tidak berlebih-lebihan.
Dan sebaiknya, ambillah makanan yang tidak terlalu berat kerana jadual waktu makan anda telah berubah dan perlu distabilkan selama sebulan ini.
Pembahagian waktu pengambilan makanan adalah penting untuk memberikan badan peluang mencerna makanan dengan sempurna dan mengelakkan sebarang masalah kepada sistem pencernaan.
Makanlah secara perlahan ketika berbuka puasa, usah gelojoh atau makan dengan cepat, kerana perbuatan ini berisiko menyebabkan perut menjadi kembung.
2. Berbuka dengan makanan manis
Makan makanan manis semasa berbuka adalah perkara sunnah yang amat digalakkan ketika berbuka puasa.
Namun, pemilihan makanan manis haruslah bersesuaian dan tidak mengandungi kandungan gula yang terlalu tinggi.
Ini kerana pengambilan makanan yang terlalu manis boleh mengakibatkan kadar gula dalam darah meningkat secara mendadak.
Malah, makanan yang terlalu manis boleh menurunkan keinginan untuk menjamah makanan lain, yang lebih seimbang dan boleh memberikan lebih tenaga.
Jadi sebaiknya, mengambil buah-buahan manis, seperti kurma, mangga, tembikai, atau sebarang jus buah tanpa kandungan gula tinggi, pastinya menjadi pilihan yang lebih baik.
3. Kuantiti makanan
Sesuatu yang biasa berlaku apabila berbuka puasa, mengambil jumlah makanan dalam kuantiti yang terlalu banyak.
Selalunya rasa lapar ketika berpuasa itu yang menyebabkan nafsu makan membuak-buak.
Sedangkan, ia adalah tindakan yang sangat tidak sihat, bukan sahaja kepada kesihatan tetapi juga kepada badan.
Seharian berpuasa menyebabkan perut berada dalam keadaan kosong, dan makan makanan dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan kejutan kepada perut.
Ini sekali gus meningkatkan risiko untuk perut menjadi dan cirit-birit. Jadi amalan yang terbaik ketika berbuka puasa, adalah dengan mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit dan makanan yang tidak terlalu berat.
4. Bersenam
Melakukan aktiviti fizikal pada waktu siang ketika berpuasa mungkin akan menyebabkan anda mengalami dehidrasi akibat peluh yang keluar dan keletihan.
Tetapi berpuasa tidak bermakna anda harus melupakan terus aktiviti senaman anda selama sebulan.
Jika sebelum ini anda gemar bersenam pada waktu petang, mungkin pada bulan Ramadan ini, anda boleh melakukan aktiviti fizikal yang anda gemari selepas berbuka.
Sebaiknya satu atau dua jam selepas berbuka. Ini untuk membolehkan makanan yang anda ambil ketika berbuka dapat dicernakan dan memberikan anda tenaga untuk bersenam.
Sebaiknya sepanjang bulan Ramadan ini, pastikan anda menjalankan ibadah berpuasa dengan lebih sihat. Selamat datang Ramadan dan selamat mengerjakan ibadah puasa.
Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]