Populasi tua meningkat ketika kadar kelahiran menurun desak timbang semula dasar

Populasi tua meningkat ketika kadar kelahiran menurun desak timbang semula dasar

Kita harus bersiap-siaga kerana populasi tua akan terus meningkat seiring dengan penurunan kadar kelahiran.

Selari dengan peningkatan penduduk tua, terdapat keperluan untuk mempertimbangkan semula hubungan antara penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial dengan menggabungkan kedua-dua organisasi ini bagi mewujudkan hubungan bersepadu antara mereka.

Penjagaan kesihatan dan sosial biasanya dianggap sebagai 2 isu dasar berbeza. Penjagaan kesihatan boleh ditakrifkan sebagai “penyediaan perkhidmatan yang melibatkan perawatan dan rawatan pesakit”. Penjagaan sosial pula berkait rapat dengan penyediaan penjagaan bagi warga tua.

Angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan terdapat 7% orang tua, iaitu yang berusia 65 tahun dan ke atas pada 2019, dan ini dijangka akan meningkat kepada 14% pada 2045.

Kita harus bersiap-siaga dari sekarang bagi menghadapi masa depan kerana populasi tua akan terus meningkat seiring dengan penurunan kadar kelahiran.

Kadar kesuburan keseluruhan (TFR) kita berada pada tahap 1.8 pada 2019. Penurunan bawah 2 bermakna kita tidak menggantikan diri kita dengan cukup cepat berbanding dengan jumlah penduduk sekarang.

Sebagai permulaan, ada keperluan untuk satu Kertas Putih bagi pembentangan dasar penuaan penduduk.

Berikutan itu, harus ada kerangka dasar nasional yang strategik.

Kerangka dasar tersebut menentukan halatuju masa depan negara dalam menangani cabaran penuaan masyarakat. Ini memerlukan kita untuk melibatkan penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial bagi warga tua dari sudut perspektif yang holistik.

Atau mungkin terdapat rangka kerja dasar khusus mengenai penjagaan sosial – dengan pandangan integrasi dan penjagaan kesihatan sebagai langkah seterusnya.

Tambahan pula, walaupun mungkin akan terdapat kelestarian fiskal, adakah ini akan mengakibatkan sektor penjagaan kesihatan kekurangan dana atau kekurangan sumber daya? Ini dengan anggapan bahawa secara langsungnya, peralihan menjurus ke arah sektor penjagaan sosial – memandangkan penduduk dilihat akan hidup lebih lama?

Menangani semua cabaran ini dalam mengsinergikan penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial memerlukan hubungan yang lancar dan terbuka. Sektor penjagaan kesihatan tidak boleh dilihat “terputus” atau terpinggir daripada sektor penjagaan sosial – seolah-olah sektor ini hanyalah pertimbangan semula, terutama sekali ditanggung secara peribadi dengan bantuan kecil daripada kerajaan.

Seperti keadaan semasa, sistem penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial kita terpisah. Jadi, bagaimana menyatupadukan keduanya?

Satu idea adalah skim perintis di mana penempatan jagaan bertapak di sebelah hospital. Kini terdapat juga berita mengenai bandar-bandar yang berkemampuan untuk memenuhi keperluan warga tua dan pesara. Sebagai contoh, isu ini dibincangkan dalam artikel terbitan The Edge Market berjudul, Kerangka untuk Desa Persaraan Berkelanjutan di Malaysia (17 Dis 2018).

Kawasan perbandaran ini yang memenuhi keperluan golongan tua harus merangkumi kluster kemudahan kesihatan seperti hospital dengan kemudahan canggih.

Tambahan pula, latihan penjagaan sosial harus lebih disatupadukan ke dalam latihan perubatan dan kejururawatan. Pengaturan ini akan menghalang pendekatan dikotomi dan menggalakkan rangka kerja yang holistik.

Namun, dari sudut pandangan praktikal, kedua-duanya dilihat seakan sama dan hampir tidak dapat dibezakan.

Contoh yang baik adalah penyakit Alzheimer yang merupakan satu bentuk demensia (keadaan nyanyuk). Sebagai satu penyakit otak atau neurologi degeneratif, ianya berada bawah kategori geriatrik penjagaan kesihatan.

Kita tahu Alzheimer juga memerlukan penjagaan sosial di luar hospital. Integrasi akan memberikan sokongan yang lebih baik dari segi pengumpulan dan penggabungan data untuk pemantauan dan diagnosis perubatan.

Ini juga akan membolehkan peruntukan dan pengagihan sumber yang lebih cekap dan berkesan.

Di samping itu, pendigitalan penjagaan kesihatan juga dapat diperkasakan. Ini kerana data, tanda/isyarat dan maklumat masa nyata yang diperolehi bawah penjagaan sosial dapat dimaklumbalaskan ke dalam penjagaan kesihatan sebagai sebahagian daripada sistem amaran awal (EWS).

Sebagai contoh, pesakit yang mengalami penyakit Parkinson tahap bahaya yang memerlukan rawatan sosial, berkemungkinan menonjolkan tanda-tanda komplikasi lain. Komplikasi ini mungkin merupakan sembelit teruk atau masalah gastro-usus yang memerlukan perhatian perubatan atau penjagaan kesihatan yang rapi.

Oleh itu, kita memerlukan anjakan paradigma.

Pasti masanya akan tiba di mana pendigitalan penjagaan kesihatan akan berkesalinghubungan secara lancar dan berterusan dengan penjagaan sosial.

Masanya adalah sekarang.

 

Jason Loh Seong Wei adalah ketua bahagian sosial, perundangan dan hak asasi di EMIR Research.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.