
Tanggal Oktober 2007, pada bulan mulia, Ramadan. Masih segar di ingatan saya betapa indah serta murninya nurani sepasukan doktor tanpa prejudis, menggalas amanah semahunya menyelamatkan seorang gadis jelita terlantar tenat, berusia 20 tahun, Tee Hui Yi.
Walaupun Hui Yi lemah tidak bermaya, selain tubuhnya kurus kering sekadar bergantung kepada jantung mekanikal semata-mata sejak hampir setahun, tidak nampak pada raut wajah gadis itu ingin berputus asa daripada penghidupannya, meskipun detik demi detik maut semakin dekat menjengah.
Meskipun jiwanya kental bersemangat, lama kelamaan, Hui Yi menyedari dirinya tidak lagi mempunyai masa. Gadis itu memerlukan pembedahan pemindahan jantung secepat mungkin. Pada Khamis, 4 Oktober, 2007, keajaiban ditunggu menjelma. Hui Yi akhirnya mempunyai penderma jantung.
Sekumpulan doktor pakar bedah jantung majoritinya Melayu, bergegas melakukan persiapan menyelamatkan Hui Yi pada kadar segera. Mereka tidak mampu lagi menunggu lama, anak gadis Cina itu mesti diselamatkan! Tiada kompromi.
Sekumpulan pakar bedah terbabit ketika itu langsung tidak mengendahkan mereka sedang berpuasa, apatah lagi mahu berfikir apa pula juadah enak berbuka. Tumpuan mereka, tuntasnya membabitkan keselamatan dan nyawa Hui Yi.
Dalam pasukan bedah itu, ada seorang pakar bius berbangsa India. Saya berfikir, inilah suratan takdir Tuhan, mempertemukan tiga anak bangsa negara bertuah ini di katil pembedahan bersama satu objektif. Tidak timbul sama sekali, konflik warna kulit apatah lagi kepercayaan.
Meskipun, saya tidak termasuk dalam proses pemindahan jantung yang rumit itu, saya bersama rakan lain tidak pastinya tidak akan berdiam diri sekiranya mereka memerlukan bantuan. Kami, dengan penuh doa dan pengharapan, agar pembedahan itu berakhir bersama kejayaan.
Malangnya, pembedahan pertama tidak berjalan lancar. Badan Hui Yi memberi isyarat penolakan organ jantung baharu diterimanya. Tekanan darah adalah rendah walaupun sokongan farmakologikal berada pada tahap maksimum. Pendarahan dialami gadis itu menimbulkan masalah.
Seperti kata saya sebelum ini, tiada sesiapa yang menolak takdir yang sedia tertulis. Dalam tempoh 24 jam, Hui Yi, menerima satu lagi penderma jantung. Saya boleh katakan, peluang ini berlaku satu dalam 10 juta insiden. Menakjubkan.
Pasukan pakar bedah sama melakukan pembedahan walaupun sudah kelesuan dalam pembedahan pertama, sekali lagi bersatu. Selepas 10 jam bertarung mempertahankan nyawa Hui Yi, mereka akhirnya melemparkan senyuman kepada kami yang setia menunggu bahawa gadis itu sudah selamat.
Kami semua bersorak gembira di lounge doktor. Pelukan dan ‘high five’ sesama kami saling bersahutan. Gadis itu kini mempunyai kehidupan baharu selepas menempuh tempoh 48 jam bersama ketabahan dan kemahiran luar biasa sepasukan doktor itu.
Pada 2007, sambutan Hari Raya jatuh pada 13 Oktober, bersamaan lapan hari selepas pembedahan Hui Yi. Saya ketika itu bertugas. Gadis itu sudah dilucutkan daripada mesin bantuan pernafasan dan proses kesembuhannya dilihat cukup pantas. Pada hari itu, setiap saat berlalu terlalu istimewa.
Kami berhimpun menikmati juadah raya, sambil jururawat berbangsa Cina menyajikan hidangan kegemaran Hui Yi. Saya juga tidak mahu ketinggalan turut serta dengan membawa hidangan vadai, putu mayam dan kari ayam. Semuanya berjalan ringkas disulami sambutan meraikan kehidupan.
Tanpa menghiraukan perbezaan agama, bangsa mahupun ideologi politik.
Tahun ini, sudah masuk tahun ke-24 saya sebagai konsultan. Secara anggaran konservatifnya, bidang tugas saya sudah memberi impak tidak kurang membabitkan 10,000 rakyat Malaysia, merangkumi pembedahan dan klinikal. Bersama rahmat Tuhan, 98% selamat.
Apa yang saya sangat yakini, sekiranya ada doktor melihat pesakitnya, perkara terakhir yang bermain di mindanya adalah berkaitan apakah kepercayaan dan bangsa pesakitnya. Saya optimis, semua pengamal perubatan di negara ini tanpa prejudis bersetuju dengan pandangan saya.
Sejumlah 70% pesakit yang mendapat rawatan bersama saya berdoa dengan nama Tuhan yang berbeza dengan kepercayaan saya, manakala 30% lagi adalah merangkumi pesakit yang satu sahaja laras bahasa yang mampu saya fahami iaitu, ‘xiexie’ (terima kasih).
Meskipun kepercayaan saya adalah bersama Ganesha, saya tidak jemu memohon agar semua pesakit yang berada di dewan bedah sekali pun bernama Ahmad, Ah Chong atau Anand, selamat dan mereka mampu meneruskan kehidupan.
Saya membawa penghujahan ini selepas terganggu sejak beberapa minggu lalu berkaitan cubaan sesetengah pihak secara sengaja mahu mempolitikan profesion dalam bidang perubatan. Mereka ini adalah kelompok tanpa penat lelah bekerja tanpa henti selama 18 bulan mendepani pandemik Covid-19.
Siapa lagi individu yang meletakkan sanubari dan jiwa masing-masing untuk keselamatan rakyat di tengah-tengah amukan pandemik di negara ini jika bukan jururawat, kakitangan perubatan bersekutu dan doktor.
Saya berpandangan, negara tidak sepatutnya melayan mereka secara tidak adil terutama membabitkan doktor junior. Mereka hanya mendambakan soal jaminan keselamatan pekerjaan, selain diberi peluang untuk berdaya mahu dalam kerjaya klinikal mereka selain peluang lanjutan akademik.
Jangan ada pihak mahu menangguk di air keruh dengan memperjudikan isu agama dan bangsa dalam bidang kesihatan. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu mampu membawa bencana di kemudian hari.
Membawa bidang kesihatan ke dalam kancah politik mungkin memberi manfaat kepada sebilangan kecil minoriti jahil dan tidak berakhlak, namun peganglah kepada kata-kata saya, ia langsung tidak memberi faedah serta kebaikan. Mereka yang mempunyai pandangan berkenaan perlu diberi pengajaran semula.
Dengan situasi semasa negara terjerumus dalam krisis demi krisis, kita sebagai rakyat memberi reaksi menaikkan bendera sama ada putih, hitam dan merah dan ganjilnya, tiada sesiapa yang mahu mengibarkan Jalur Gemilang lagi.
Ikhlas dari sudut hati kecil ini, kita sepatutnya berbangga mengibarkan Jalur Gemilang di saat krisis masih berlanjutan simbolik kekuatan kita sebagai satu bangsa di negara ini. Janganlah biarkan kita berputus asa sebagai satu bangsa Malaysia.
Berbalik kepada gadis jelita, Tee Hui Yi, yang saya ceritakan di awal tadi, beliau meninggal dunia pada 19 September, pada ulang tahun kelima pemindahan jantungnya. Artikel dan nukilan yang hadir daripada jantung kecil ini, saya dedikasikan ke atas dirinya, bersama jutaan lagi pesakit yang saban hari berdepan penyakit masing-masing.
Mereka mengajar saya yang masih bernyawa di sini bahawa perubatan melangkaui bangsa. Ia juga melangkaui agama dan pastinya melangkaui politik.
Dr Venugopal Balchand adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.