Bila pintu ego Umno diketuk

Bila pintu ego Umno diketuk

Umno nampaknya longlai menangani isu tidak puas hati demang-demang politiknya di Melaka.

A new date for the 2020 general assembly will only be announced after the Covid-19 situation improves.

Bak pelesit tidak berjinjang. Kelakuan empat kesatria politik Melaka begitu gegak gempita hingga hampir mati akal demang-demang politik Melayu mencari penyelesaiannya. Sementara rakyat di bumi bersejarah itu bungkam memikirkannya.

Umno yang mendabik dada menjadi wali pemikiran politik Melayu lebih 64 tahun masih belum mampu memberi sinar harapan gelagat mereka tidak lebih buruk daripada coretan sejarah Portugis menakluki kota Melaka enam abad lalu.

Jika dibiarkan sahaja gelagat keempat-empat mereka menurut nafsu diuleti gerombolan wartawan saban hari, bukan sahaja iklim politik Melaka semakin suram malah seluruh jati diri Malaysia akan terbias racun politik mereka.

Betapa tidaknya, jika Pilihan Raya Negeri diadakan akan berulang tambah pelesit Covid-19 merasuk seluruh pelosok negara. Berebut-rebutlah hulubalang politik Melayu merasuk negeri Hang Tuah itu bak Hang Jebat mengamuk lagi.

Agak mustahil menghalang soldadu upahan bertandang ke Melaka kerana kesempatan itu akan jadi gelanggang memungut laba dunia meskipun mereka akan membawa pulang Covid durjana yang akan memamah kesihatan rakyat se-Malaysia.

Habis kelak berbilion khazanah negara yang sudah diongkosi oleh kerajaan untuk mengawal dan hidup berdamai dengan Covid-19 menjadi ikhtiar mencurah air di daun keladi. PRN Sabah saksi kepastian ini.

Musnahlah impian “Keluarga Malaysia” yang hendak dibangunkan oleh Ismail Sabri Yaakob kerana beliau tiada daya membentuk dan melentur “keluarga Umno Malaysia” yang harmoni, saling hormat-menghormati – ini kerana beliau bukan nakhoda bahtera parti itu.

Tragedi ini berlaku kerana Umno gagal menimang isu penderhakaan terhadap kerajaan Sulaiman Ali yang juga ahli keluarga Umno dengan bijak dan kasih sayang walaupun isu itu sudah menggelegak sejak Umno dan rakan perikatannya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan lagi.

Umno nampaknya longlai menangani isu tidak puas hati demang-demang politiknya di Melaka. Yang terulung ialah mantan Ketua Menterinya, Idris Haron. Sebagai bekas nakhoda bahtera Melaka tentu sedikit sebanyak kritiknya terhadap Sulaiman ada munasabahnya.

Malangnya perhatian pimpinan tertinggi Umno lebih fokus kepada perkara lain. Payah sangatkah bagi Ahmad Zahid Hamidi untuk mendail nombor telefon Idris bagi bertanyakan masalah yang terbuku di hatinya?

Zahid boleh sahaja menitahkan Idris menghadapnya. Zahid boleh juga bawa Idris bersemuka dengan ahli-ahli berbagai gelar dari balai rong seri Umno atau Majlis Tertinggi parti untuk mempersembahkan kesnya. Namun ia tidak dilakukan.

Kini tinggallah Ismail Sabri terkinja-kinja bagaimana mahu menyelamatkan keluarga Malaysia kerana sudah dihinggapi pelesit tidak berjinjang Umno. Bagaimana Ismail mahu mengelak daripada mengundang amarah nakhoda bahtera Umno. Silap hari watikah bertanding semula Ismail dibakul-sampahkan.

Jika Zahid jelas dan tegas akan tanggungjawabnya, pasti masalah Idris ini boleh dielakkan. Ini natijahnya jika rumah tangga dan keluarga tidak tenteram. Apabila ketua keluarga dijangkiti virus kluster mahkamah Umno, terus jadi lemah.

Kini tanggungjawab membetahkan penyakit Umno mesti dipikul oleh semua ahlinya, terutama generasi muda. Pemimpin kanannya seperti Mohamad Hassan perlu lebih terbuka untuk memberi pandangannya dan tidak hanya jadi utusan untuk memecat Idris dan rakan kongsi nasib dengannya.

Bangkitlah Tok Mat Hassan dan pendekar muda Asyraf Wajdi untuk mengukuhkan pendirian dan sosok politik Nakhoda Umno yang kelihatan mengalami pitam politik sekarang. Namun lakukanlah tugas ini dengan ikhlas dan niat suci.

Lembaga dan istiadat Umno masih utuh. Bukankah Umno juga parti Islam? Ke mana perginya semangat “syurah bai na hum” yang selama ini menjadi obor untuk mencari kesepakatan dan kekuatan menguruskan semua masalah Umno?

Ini masa memupuk mahabbah di dalam keluarga Umno seperti yang ditunjukkan oleh para sahabat ketika menghadapi masa genting mencari lelaki yang sesuai menggantikan insan kamil yang diciptakan Allah untuk memimpin umat manusia sejagat.

Belajar dari sejarah. Islam jadi penakluk dunia bukan kerana karisma seorang dua pemimpin. Ia berpaksikan pimpinan yang boleh ditegur dinasihati dan dikasihi. Jangan dibiarkan petualang yang gemar menangguk di air keruh menggoncang jati diri Umno lagi.

Tenaga dan partisipasi semua orang Melayu dan Islam diperlukan untuk mengubati penyakit lemah semangat parti keramat itu. Apapun musibahnya Idris Haron telah membuka pintu taksub dan takbur Umno. Cuma peringatkannya memberi salam terlebih dahulu.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.