Dari bau petrol ke sunyi EV

Dari bau petrol ke sunyi EV

Jika rakyat berani berubah sistem juga mesti berani matang kerana masa depan bukan sekadar sesuatu yang dibeli. Ia perlu dipermudah, diperkemas dan dirasai manfaat oleh semua.

EV car charging EV Car-Charger-EV Port Station

Saya baru sahaja menggunakan kenderaan elektrik atau EV sejak 1 April lalu. Ertinya, belum pun cukup sebulan. Masih baru, masih belajar, masih menyesuaikan diri dengan satu budaya pemanduan yang berbeza daripada kenderaan biasa. Saya masih meneliti corak penggunaan bateri, memahami aplikasi pengecasan, memilih lokasi hentian, dan sesekali masih memandang baki jarak perjalanan dengan debar yang tidak pernah saya rasa sewaktu memandu kereta petrol.

Namun, dalam tempoh singkat itu, saya sudah belajar bahawa memiliki EV bukan sekadar membeli sebuah kereta. Ia sebenarnya membawa kita memasuki satu cara hidup yang baharu — lebih terancang, lebih tenang, dan dalam beberapa keadaan, lebih mengingatkan kita tentang nilai masa.

Di Malaysia hari ini, EV bukan lagi barang asing. Dahulu ramai melihatnya sebagai pilihan golongan berada atau sekadar simbol teknologi masa depan. Kini keadaannya berubah. Semakin banyak model memasuki pasaran, dan semakin ramai pengguna mula mempertimbangkan soal penjimatan jangka panjang, kos penyelenggaraan yang lebih rendah, serta kebimbangan terhadap turun naik harga petrol yang sentiasa memberi kesan kepada poket rakyat.

Saya memahami tarikan itu. Tetapi selepas beberapa minggu menjadi pengguna, saya juga memahami satu hakikat lain: pertambahan jualan mesti diiringi dengan pertambahan keyakinan.

Ketika pengguna bertambah, cabaran sebenar mula terasa

Ramai melihat pertumbuhan jualan EV sebagai tanda kejayaan. Itu memang perkembangan yang positif. Tetapi bagi pengguna sebenar, cerita yang lebih jujur bermula selepas kenderaan dibawa keluar dari pusat jualan.

Soalan yang timbul bukan lagi tentang reka bentuk, kuasa pecutan atau skrin digital di papan pemuka. Soalan sebenar lebih mudah tetapi lebih penting. Mudahkah hendak mengecas? Cukupkah stesen yang ada? Berapa lama perlu menunggu? Jika sistem tergendala, siapa yang akan membantu?

Saya mengalami sendiri keadaan itu di kawasan rehat dan rawat Tapah. Lokasi tersebut terkenal sibuk kerana menjadi hentian utama di laluan utara-selatan. Orang singgah untuk berehat, makan, ke tandas, solat dan menyambung perjalanan. Tetapi bagi pengguna EV, satu lagi tujuan penting ialah mendapatkan tenaga untuk meneruskan perjalanan.

Masalahnya, di lokasi sesibuk itu hanya dua pengecas tersedia setakat ini. Hampir setiap kali kelihatan pengguna menunggu giliran. Dalam perjalanan jauh, masa menunggu bukan perkara kecil. Ia boleh mengubah jadual, mengganggu emosi, malah menimbulkan persoalan sama ada keputusan beralih kepada EV benar-benar praktikal.

Bagi mereka yang sedang mempertimbangkan pembelian EV, pengalaman seperti ini boleh menjadi faktor penentu. Mereka bukan takut kepada teknologi baharu. Mereka takut kepada ketidakpastian.

Sedikit disiplin, besar manfaatnya

Dalam keadaan kemudahan masih belum mencukupi, saya melihat pelaksanaan ‘idle fee’ sebagai langkah yang wajar dipuji. Caj 40 sen seminit selepas 15 minit pertama sebaik pengecasan selesai mungkin nampak kecil, tetapi mesejnya besar.

Ruang pengecas bukan petak parkir biasa. Ia ialah nadi perjalanan pengguna EV. Apabila bateri sudah penuh, kenderaan perlu dialihkan supaya pengguna lain dapat mengambil giliran. Jika tidak ada peraturan seperti ini, akan ada yang mengambil masa terlalu lama untuk kembali ke kereta, membeli makanan dahulu, berehat dahulu, atau sekadar berlengah.

Akhirnya, orang lain yang menanggung akibat.

Saya melihat idle fee bukan sebagai hukuman, tetapi pendidikan. Dalam dunia baharu, kita memerlukan etika baharu. Kemajuan tidak akan berjalan lancar jika mentaliti masih lama.

Menunggu yang mengeratkan, bukan merugikan

Namun, di sebalik cerita menunggu, ada satu sisi yang jarang disebut. Menunggu ketika mengecas kadangkala menghadiahkan sesuatu yang semakin mahal dalam kehidupan moden — masa bersama keluarga.

Hari ini ramai keluarga tinggal serumah tetapi hidup berasingan. Anak-anak dengan gajet masing-masing. Ibu bapa dengan urusan kerja. Makan bersama pun kadangkala sekadar hadir di meja yang sama, tetapi fikiran berada di tempat lain.

Ketika mengecas di sebuah stesen Petronas baru-baru ini, saya pernah merasai sesuatu yang sederhana tetapi bermakna. Masih ada ruang berkongsi Maggi Bowl, menikmati kopi segera, duduk berbual sambil menunggu bateri penuh. Perkara kecil seperti itu mungkin nampak biasa, tetapi hakikatnya semakin jarang berlaku di rumah sendiri.

Satu lagi insiden yang manis ialah perkenalan ketika sama-sama mengecas kenderaan, sebagai penulis, saya sudah terbiasa menyapa orang yang tidak dikenali. Itulah pengalaman saban kali berlaku ketika mengecas kenderaan. Banyak sebenarnya yang boleh kita pelajari daripada perbualan singkat ini.

Dalam dunia yang terlalu laju, EV kadangkala memaksa kita berhenti seketika. Dan apabila kita berhenti, kita mula memandang wajah orang di sebelah. Kita mula mendengar suara anak dengan lebih lama. Kita mula ketawa tanpa tergesa-gesa.

Tidak mustahil, di tepi sebuah stesen pengecas, hubungan keluarga diam-diam dipulihkan.

Infrastruktur bukan sekadar mesin dan kabel

Satu lagi pengalaman yang saya lalui ialah di stesen pengecas di Kundang. Saya melihat sendiri kekecewaan seorang pengguna kenderaan EV yang berlalu pergi selepas gagal mendapat bantuan daripada petugas di stesen minyak. Ketika timbul kekeliruan, saya berharap ada bantuan asas daripada staf yang bertugas. Namun, apabila mereka sendiri kurang pasti tentang sistem atau langkah yang perlu dibuat, pengguna akan berasa seolah-olah dibiarkan bersendirian.

Saya tidak menyalahkan individu. Mereka juga memerlukan latihan dan pendedahan. Tetapi pengalaman itu mengingatkan kita bahawa infrastruktur EV bukan sekadar memasang mesin di sudut parkir.

Ia juga melibatkan manusia yang menjadi wajah pertama kepada pengguna. Mereka perlu tahu perkara asas, cara membantu pelanggan, nombor sokongan dan langkah awal apabila berlaku gangguan. Kadangkala cukup dengan seorang staf yang tahu menenangkan keadaan, pengguna akan pulang dengan keyakinan.

Jika tidak, pengalaman kecil yang buruk boleh memberi kesan besar kepada persepsi orang ramai.

Selain itu, masih berlaku keadaan kenderaan bukan EV meletakkan kereta di ruang khas EV. Ada yang mungkin tidak sedar, ada yang tergesa-gesa, dan ada yang menganggap ia sekadar parkir kosong. Tetapi bagi pengguna EV, ruang itu bukan kemewahan. Ia keperluan. Penandaan yang lebih jelas, warna lantai yang lebih ketara dan penguatkuasaan yang konsisten boleh banyak membantu.

Saya baru bermula, negara juga sedang bermula

Saya baru beberapa minggu menggunakan EV, dan saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia sedang menimbang langkah sama. Mereka melihat penjimatan, teknologi dan masa depan yang lebih cekap.

Tetapi kejayaan EV tidak akan diukur pada jumlah kereta terjual semata-mata. Ia akan diukur pada pengalaman harian pengguna biasa — ketika singgah di R&R, ketika mencari bantuan, ketika menunggu giliran mengecas, ketika berkongsi secawan kopi segera bersama keluarga, dan ketika pulang dengan rasa keputusan mereka adalah tepat.

Jika rakyat sudah berani berubah, sistem juga mesti berani matang. Kerana masa depan bukan sekadar sesuatu yang dibeli. Ia sesuatu yang perlu dipermudahkan, diperkemas dan dirasai manfaatnya oleh semua.

 

Penulis ialah karyawan dan editor perunding terbabit lebih 150 penerbitan sejak 2008.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.