Covid-19: 2 kluster baharu, Bah Puchong, Penjara Reman

Kluster Bah Puchong dikenal pasti hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah manakala kluster Penjara Reman membabitkan kematian tahahan pada 5 Oktober lalu.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 2 kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu adalah Bah Puchong dan kluster Penjara Reman.

Beliau berkata, kluster Bah Puchong dikenal pasti di Selangor iaitu di daerah Petaling dan di Perak iaitu di Larut, Matang dan Selama serta Kinta.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-13,061, kes ke-13,065 dan kes ke-13,069) dikenal pasti positif Covid-19 pada 5 Oktober lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

“Ketiga-tiga mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hisham berkata, susulan itu saringan kontak rapat dijalankan dan 2 lagi kes positif Covid-19 di Perak iaitu di Larut, Matang dan Selama serta Kinta dikenal pasti.

“Mereka dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kluster Penjara Reman dikenal pasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Katanya, kes indeks kluster itu (kes ke-13,499) merupakan kes kematian ke-141.

“Beliau merupakan lelaki warga Malaysia berumur 85 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 5 Oktober lalu dalam penjara dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

“Saringan Covid-19 dijalankan pada hari sama dikesan positif. Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan 6 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti pada 6 Oktober lalu.

“Mereka dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya.