Bekas KM Melaka Rahim Thamby Chik saman pemimpin DAP fitnah

Bekas KM Melaka Rahim Thamby Chik saman pemimpin DAP fitnah

Beliau memfailkan saman terhadap Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong, Pengerusinya, Tan Kok Wai, Timbalannya, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.

Abdul Rahim Thamby Chik meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada Oktober 1994. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua menteri Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik memfailkan saman terhadap Penolong Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong dan parti itu yang didakwa memfitnahnya dalam satu artikel kerana mengaitkannya dengan pelbagai skandal.

Rahim, yang juga ahli PPBM, memfailkan saman itu menerusi firma guaman The Chambers of Frida pada 17 Sept lalu.

Selain Khoo, Rahim turut menamakan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai defendan ke-2 hingga ke-4.

Dalam penyataan tuntutannya, Rahim mendakwa pada 16 Dis 2018, Khoo yang juga ahli Parlimen Kota Melaka, menulis, menerbit dan/atau menyebabkan untuk diterbitkan satu artikel mengandungi perkataan fitnah yang mengaitkannya dengan pelbagai skandal di Facebook milik defendan pertama, laman web parti itu, www.dapmalaysia.org dan portal berita www.thestar.com.my.

Plaintif mendakwa Tan, Gobind dan Lim menerbitkan dan/atau menyebabkan untuk diterbitkan artikel itu di laman web DAP sehingga ia boleh diakses serta dikongsi di blog, forum serta portal tanpa batasan.

Rahim mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain menggambarkan beliau seorang yang korup, terlibat dengan jenayah seksual, salah guna kuasa serta penyelewengan dan beliau menegaskan tuduhan itu tidak benar, tidak berasas serta diterbitkan dengan niat jahat.

Plaintif, yang meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada Oktober 1994, berkata tuduhan dan sindiran itu memberi manfaat kepada defendan pertama sebagai ahli politik, tetapi pada masa sama akan menyebabkan kerosakan maksimum terhadap reputasinya.

Rahim mendakwa walaupun beliau melalui peguamnya meminta Khoo menarik balik artikel itu dan memohon maaf melalui surat tuntutan bertarikh 18 Feb 2019, namun defendan pertama enggan berbuat demikian dan bertindak mencabar plaintif menyamannya.

Beliau berkata, The Star menerbitkan satu pernyataan pada 27 Julai 2019 bertajuk “Sorry, Rahim Tamby Chik is not father of scandals” bagi memohon maaf berhubung penerbitan artikel itu yang didakwa memfitnahnya.

Sehubungan itu, Rahim menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar defendan membuang artikel itu daripada Facebook dan www.dapmalaysia.org serta menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

Berdasarkan senarai mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan Isnin ini secara dalam talian melalui sistem e-Review di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Idamasliza Maarof.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.