
“Mereka tidak lagi menunjukkan mempunyai gejala penyakit itu, jadi petugas Kementerian Kesihatan asingkan mereka di kawasan zon hijau, iaitu blok khas untuk rawatan seterusnya.
“Manakala banduan lain (positif Covid-19) masih menerima rawatan di pusat rawatan dalam penjara dan mereka juga dalam keadaan stabil sekarang,” kata Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail ketika dihubungi Bernama hari ini.
Seramai 27 banduan yang disahkan positif Covid-19 semalam tinggal di blok sama dengan kumpulan pertama banduan yang dijangkiti virus itu sebelum ini.
Setakat semalam, 217 banduan disahkan positif dengan satu kematian dilaporkan membabitkan kluster Penjara Reman.
Mengenai perkembangan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang dan kawasan kuarters penjara itu, Jusoh berkata, ia berjalan lancar dan tiada masalah timbul, termasuk dari segi bekalan makanan.
“Kami menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, malah saya juga mengalu-alukan pihak yang mahu menyumbang, yang boleh disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada kami.”
Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, semua 19 banduan yang disahkan positif Covid-19 di Penjara Seberang Perai, Jawi, dekat sini 2 hari lalu dan semalam, ialah mereka yang tinggal di blok sama dengan mereka yang disahkan positif sebelum ini.
Setakat semalam, 28 banduan di Penjara Seberang Perai disahkan positif Covid-19 dan semuanya banduan baru masuk ke sana, iaitu antara 2 hingga 3 minggu lalu.
“Mereka dalam keadaan stabil dan dirawat di dalam penjara. Mereka merupakan banduan baru yang dimasukkan ke situ dan tidak bercampur dengan banduan lama di blok lain. Proses ujian saringan Covid-19 masih dijalankan ke atas banduan baru yang tinggal di blok sama dengan mereka yang positif.”
Ketika ini, terdapat 2 kluster di Pulau Pinang, iaitu kluster Penjara Reman dan kluster Penjara Jawi yang semua kes membabitkan banduan.