Nilai semula keperluan isytihar darurat, kata Suhakam

Nilai semula keperluan isytihar darurat, kata Suhakam

Suhakam berkata, kerajaan perlu menghormati kedaulatan undang-undang dan melindungi kebebasan asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Suhakam berkata, pengisytiharan darurat terdahulu menyebabkan sidang Parlimen ditangguhkan, ekonomi merosot dan pencabulan hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan Perikatan Nasional menilai semula keperluan mengisytiharkan darurat untuk membendung penularan Covid-19 bagi mengelakkan negara dibelenggu ketidakstabilan berterusan.

Ia turut menyeru kerajaan menghormati kedaulatan undang-undang dan melindungi kebebasan asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pengisytiharan darurat sebanyak 4 kali sebelum ini menyebabkan sidang Parlimen ditangguhkan, ekonomi merosot dan pencabulan hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Suhakam berkata, keadaan ekonomi semasa dan kesihatan dalam negara akibat penularan Covid-19 tidak membawa ancaman kepada keselamatan negara.

“Pengisytiharan darurat yang dicadangkan untuk membendung Covid-19 tidak mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dijustifikasikan, terutamanya apabila orang ramai mematuhi perintah kawalan pergerakan dan SOP.

“Langkah-langkah terkini yang diambil kerajaan untuk mencegah jangkitan di negara ini dan pematuhan ketat terhadap SOP oleh rakyat mencukupi untuk mengatasi wabak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menyusul spekulasi meluas berhubung kemungkinan darurat atau darurat separa diisytiharkan, dengan ahli politik pembangkang mendakwa kerajaan cuba melanjutkan kuasanya.

Semalam, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Kuantan untuk menyampaikan cadangan yang dicapai dalam mesyuarat khas Kabinet pada Jumaat.

Agong akan membincangkan cadangan Muhyiddin dengan raja-raja Melayu dalam masa terdekat.

Sementara itu, gabungan 76 NGO yang dikenali sebagai CSO Platform for Reform berkata, pengisytiharan darurat tidak diperlukan untuk menentang Covid-19, sebaliknya ia dilihat sebagai cubaan untuk kerajaan mengekalkan kuasanya.

“Keadaan darurat akan memberi jalan kepada perdana menteri dan pentadbirannya menghalang cabaran terhadap kepimpinannya di Parlimen serta mengelakkan Parlimen meneliti dan membahaskan belanjawan nasional yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.”

Katanya, rakyat tidak akan terpedaya dengan cadangan itu kerana pelaksanaan PKP pada Mac lalu membuktikan negara mampu mengawal penularan Covid-19 melalui kerangka perundangan dan mekanisme penguatkuasaan sedia ada.

Antara NGO di bawah CSO Platform for Reform ialah Suaram, Beyond Borders Malaysia, Sabah Human Right Centre dan Jaringan Orang Asal SeMalaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.