Jabatan Penjara akui pegawai langgar hak asasi tahanan

Jabatan Penjara akui pegawai langgar hak asasi tahanan

Peguam persekutuan, Amirah Abdul Razak berkata rakaman CCTV tunjuk pegawai penjara serang tahanan guna semburan lada dan cota.

penjara taiping
Inkuiri Suhakam menyiasat dakwaan lebih 100 banduan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 wadar semasa proses pemindahan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Penjara memberitahu siasatan awam berhubung dakwaan pencabulan hak asasi di Penjara Taiping, bahawa pegawainya telah melanggar hak asasi tahanan semasa satu proses pemindahan banduan awal tahun ini.

Peguam persekutuan yang mewakili jabatan itu, Amirah Abdul Razak, dalam hujahan lisannya, mengakui rakaman CCTV pada 17 Jan menunjukkan pegawai penjara menyerang tahanan menggunakan semburan lada dan cota, walaupun beberapa pegawai sebelum ini mendakwa sebaliknya.

Inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) itu menyiasat dakwaan lebih 100 banduan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 wadar semasa proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut dalam kejadian tersebut.

Amirah berkata sebahagian pegawai penjara yang sebelum ini memberi keterangan dalam siasatan itu, cuba menutup kesalahan mereka.

“Kami berada di sini bukan untuk mencari salah, tetapi untuk mengenal pasti pelanggaran dan mengemukakan cadangan bagi menambah baik (kemudahan penjara),” katanya.

Pegawai undang-undang itu juga berkata pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan cuai kerana gagal memberikan bantuan perubatan tepat pada masanya kepada Gan dan tahanan lain.

Amirah mendakwa mereka terbeban dengan tugas kerana perlu menjaga lebih 1,200 tahanan di Penjara Taiping.

Katanya, jabatan itu sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan supaya membina penjara baharu bagi menggantikan Penjara Taiping, kerana strukturnya yang usang dan ketidakupayaan kontraktor melaksanakan kerja pembinaan.

Pegawai penjara gagal hentikan rusuhan, kata peguam

Peguam T Shashi Devan, yang mewakili keluarga Gan sebagai pemerhati, memberitahu siasatan bahawa beberapa pegawai kanan penjara yang bertugas tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan perbuatan anggota bawahan mereka semasa rusuhan pada 17 Jan itu.

“Dua daripada mereka cuba menjauhkan diri daripada dikaitkan dengan kejadian itu dan salah seorang mengaku memadam satu video dalam telefonnya (yang menunjukkan Gan dan tahanan lain diserang),” katanya.

Shashi juga berkata pegawai perubatan penjara, Dr V Navin Esavik, gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan tidak segera membawa Gan ke hospital.

“Hospital Taiping hanya lima minit dari penjara. Berapa lama masa yang diambil untuk menghantar Pakcik Gan ke hospital? Tiga puluh minit.

“Pakcik Gan meninggal dunia di bawah kecuaian Dr Navin,” katanya.

Peguam itu juga berkata Navin tidak mengambil tindakan segera untuk merawat Gan ketika di penjara, sebaliknya menghubungi hospital untuk bersedia dengan kemungkinan kejadian kematian yang ramai.

Menjawab soalan Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus mengenai perkembangan siasatan, Shashi berkata polis masih belum memaklumkan keluarga Gan sama ada sesiapa telah didakwa.

Peguam Abang Iwawan Abg Narawi, yang mewakili Majlis Peguam Malaysia sebagai pemerhati, berkata sudah tiba masanya kerajaan meratifikasi Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Merendahkan Maruah, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Siasatan yang dipengerusikan oleh Hishamudin dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki itu akan memaklumkan para peguam mengenai keputusannya pada tarikh akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.