Ibu tunggal tanpa kemahiran antara paling terkesan semasa PKP

Ibu tunggal tanpa kemahiran antara paling terkesan semasa PKP

Lapiza Bahadon mahu berniaga tudung secara dalam talian tetapi tiada modal.

Lapiza Bahadon membantu anak perempuannya, Rashidah Bahrim (duduk), selesaikan kerja sekolah di rumah mereka di PPR Seri Anggerik.
PETALING JAYA:
Ibu tunggal tanpa sebarang kemahiran yang boleh dipasarkan antara golongan paling terkesan dengan pandemik Covid-19.

Walaupun sebilangan cuba menjual makanan atau berniaga dalam talian, bukan semuanya mahir memasak atau berniaga.

Lapiza Bahadon pernah mengusahakan gerai mingguan menjual tudung dan pakaian lain di luar masjid dan acara anjuran agensi kerajaan seperti Perkeso dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Bagaimanapun, sekatan terhadap himpunan orang ramai susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan perniagaannya, malah perniagaan popiah yang dibuat secara sampingan juga tidak dapat diteruskan kerana jualan rendah dan kos penghantaran yang tinggi.

Rosnah Abdul Hamid di luar rumahnya di PPR Seri Anggerik.

“Saya perlu dapatkan bekalan baharu kalau mahu menjual tudung secara dalam talian tapi saya tiada modal,” katanya, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Seri Anggerik di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

“Susah nak meniaga kalau tak ada modal, jadi saya tak tahu apa nak buat sekarang,” tambahnya.

Tinjauan Unicef baru-baru ini mendapati meskipun kewangan keluarga berpendapatan rendah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada pandemik Covid-19, keluarga yang ketua isi rumahnya perempuan masih paling terkesan dengan kehilangan pendapatan.

Pengerusi persatuan penghuni Sri Anggerik Mohd Faisol Sahrani, dan ahli jawatankuasa Zabidah Pawan.

Terdapat sekitar 60 ibu tunggal tinggal di PPR Seri Anggerik menurut pengerusi persatuan penghuni, Mohd Faisol Sahrani. Pendapatan mereka terjejas kerana PKP.

Walaupun beliau berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas pengecualian sewa bagi penghuni rumah pangsa dan gerai, serta bantuan makanan dan ubatan daripada badan kerajaan dan NGO, Faisol berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu ibu tunggal, yang kebanyakannya berniaga kecil-kecilan untuk bertahan.

Bagaimanapun, bukan semua orang bernasib baik.

“Saya tiada kemahiran,” kata Rosnah Abdul Hamid.

“Sebelum ini saya bergantung kepada suami tetapi dia sudah meninggal dunia dan anak menjaga saya.”

Terdapat sekitar 60 ibu tunggal tinggal di PPR Seri Anggerik.

Sambil menjaga anak bongsu dan seorang cucu, ibu kepada 6 orang anak itu berkata pandemik betul-betul menduga kehidupan 2 anaknya yang diberhentikan kerja sebagai guru sekolah agama apabila PKP bermula.

“Dua anak saya kini bekerja sebagai pemandu Grab dan walaupun tidak berpendapatan banyak, saya bersyukur mereka ada pekerjaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.