
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Kampung Sabah Baru hingga 23 Nov.
“Sehingga 8 November lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 441 saringan dan 102 kes positif Covid-19 direkodkan.
“PKPD ini akan melibatkan 701 buah rumah dan seramai 3,917 orang penduduk.
“Pelaksanaan PKPD ini adalah bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar, sekali gus menyekat penularan kepada komuniti setempat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, SOP PKPD itu sama seperti yang diumumkan sebelum ini.
Beliau bagaimanapun berkata, kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang.
“Pasar dibenarkan beroperasi selama 2 kali seminggu bermula 6.00 pagi sehingga 2.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.
“Selain itu, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan untuk keluar dari kawasan PKPD untuk mengeluarkan duit dari mesin ATM atau bank,” katanya.
Sementara itu Ismail berkata, 6 lagi kawasan yang dikenakan PKPD sebelum ini disambung 14 hari lagi bermula esok.
Ismail berkata, PKPD di pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, Sabah disambung 14 hari lagi bermula esok hingga 23 Nov ini.
Beliau juga berkata, PKPD di Plaza Hentian Kajang, Daerah Hulu Langat, Selangor disambung lagi selama 14 hari bermula 11 Nov hingga 24 Nov ini.
“Kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan selama 14 hari lagi PKPD di 2 lokaliti tempat tinggal pekerja Putra Point Nilai bermula 11 Nov hingga 24 Nov ini.
“Kerajaan juga setuju melanjutkan lagi PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching bermula 11 Nov hingga 24 Nov,” katanya.