Operasi tak terjejas, bekalan tak alami gangguan, kata Petronas

Operasi tak terjejas, bekalan tak alami gangguan, kata Petronas

MKN memaklumkan bahawa kerajaan mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu diperketatkan kawalan keselamatan.

Petronas LNG bintulu
Petronas kata ia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa. (Gambar Petronas)
KUALA LUMPUR:
Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata operasi gas asli cecair (LNG) syarikat itu tidak terjejas dan tiada gangguan bekalan di kemudahan LNG miliknya di Bintulu, Sarawak.

Dalam satu kenyataan malam tadi, syarikat minyak nasional itu berkata ia mengambil maklum pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung potensi risiko keselamatan di kemudahannya di Bintulu.

“Kami memandang serius perkara sebegini dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak-pihak berkuasa untuk menilai serta menangani situasi berkenaan.

“Pada masa ini, operasi kami tidak terjejas dan bekalan kami tidak mengalami sebarang gangguan. Perlu diyakini bahawa keselamatan dan kesejahteraan pekerja, kontraktor dan komuniti di sekeliling kami terus menjadi keutamaan kami,” kata Petronas.

Terdahulu, MKN memaklumkan bahawa kerajaan mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu diperketatkan kawalan keselamatan susulan ancaman keselamatan terhadap kemudahan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.