
J Solomon, setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), berkata undang-undang Malaysia tidak pro-pekerja, manakala Shamsuddin Bardan, pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), berkata pihak pengurusan perlu segera menangani dakwaan penindasan.
Mereka mengulas laporan minggu lalu, di mana seorang lelaki yang diberhentikan kerja baru-baru ini merempuh pejabat bekas majikannya di Perak dan melontar bom petrol “molotov cocktail” ke pejabat pengurusan syarikat itu. Sejam kemudian, mangsa terbunuh selepas dilanggar lori semasa melintas jalan.
Sejurus selepas tragedi itu, muncul video mangsa meluahkan penderitaannya sewaktu bekerja dengan sebuah syarikat teknologi AS di Perak.
Dalam video yang dirakam sebelum kematiannya, lelaki berumur 50-an itu menceritakan penderitaan dan kemurungan di tempat kerja, termasuk dituduh mempunyai “isu prestasi”.
Solomon memberitahu FMT, insiden itu menunjukkan kegagalan undang-undang pekerjaan di Malaysia.
Beliau berkata, pekerja di peringkat pengurusan dan ke atas tidak layak menjadi ahli kesatuan dan mereka hanya mendapat sedikit perlindungan.
“Ini adalah logik mudah, sesiapa yang mempunyai masalah perlu mempunyai kaedah secukupnya untuk penyelesaian.
“Pekerja seperti di Perak itu sepatutnya mempunyai perlindungan kesatuan dan membawa perkara itu ke Mahkamah Perusahaan, jika perlu.”
Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia tidak boleh hanya “menjadi pemerhati” dan perlu meminda undang-undang buruh sejajar Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 87, yang memberi hak kepada semua pekerja untuk mengatur dan menawar secara kolektif.
Malaysia mengiktiraf konvensyen itu pada 1961, tetapi Solomon mendapati perubahan rela\evan kepada undang-undang tempatan belum dibuat.
“Undang-undang Malaysia merugikan kebanyakan pekerja yang dianggap pengurusan. Ini bertentangan konvensyen. Jawatankuasa pakar ILO banyak kali mengingatkan kerajaan untuk meminda undang-undang itu.”
Beliau turut menggesa “badan bebas yang mempunyai kuasa dan kesan undang-undang” ditubuhkan supaya pekerja di semua peringkat dapat membuat aduan jika mereka merasa ditindas.
Shamsuddin berkata, syarikat perlu lebih berusaha memastikan terdapat pengawasan dalaman terhadap dakwaan penindasan di tempat kerja.
Katanya, ini bukan saja melibatkan kerja mendraf dasar dalaman yang komprehensif mengenai hubungan pekerja, tetapi juga rangkuman mekanisme untuk membolehkan rayuan sampai kepada badan pengawasan dalaman.
“Sebaik saja badan pengawasan itu ditubuhkan, pekerja akan diminta menggunakan semua mekanisme dalaman sebelum memfailkan laporan kepada pihak berkuasa.”
Beliau turut menyarankan penubuhan jawatankuasa perundingan terdiri daripada pengurusan dan wakil pekerja untuk menyelesaikan masalah berbangkit bagi “mengurangkan dan akhirnya menghapuskan” kejadian penindasan pekerja.