RCEP ditandatangani hari ini selepas 8 tahun rundingan

RCEP ditandatangani hari ini selepas 8 tahun rundingan

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia dan merupakan pencapaian penting dalam integrasi dan pemerkasaan ekonomi 15 negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, pemeterian perjanjian RCEP akan menggalakkan, memudahkan dan melindungi iklim pelaburan negara yang mengambil bahagian di rantau ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akhirnya ditandatangani hari ini selepas melalui 31 pusingan rundingan dalam tempoh 8 tahun lepas.

Pemeteraian RCEP, yang merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia, melambangkan pencapaian penting dalam integrasi dan pmerkasaan ekonomi 15 negara.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata, pemeteraian perjanjian itu menjadi bukti kepada pengukuhan sistem perdagangan pelbagai hala, selain memartabatkan agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“RCEP akan menggalakkan, memudahkan dan melindungi iklim pelaburan negara yang mengambil bahagian di rantau ini.

“Ini termasuk pertukaran maklumat dan menggalakkan langkah ketelusan untuk memudahkan perniagaan dan pelaburan di kawasan RCEP,” katanya kepada pemberita selepas pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

RCEP terdiri daripada 15 negara dengan gabungan penduduk seramai 2.2 bilion, atau hampir 29.7% daripada penduduk dunia.

Ia mewakili AS$24.8 trilion atau 28.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, berdasarkan data daripada Bank Dunia pada 2018.

RCEP menggabungkan dan menyelaraskan FTA Asean+1 sedia ada, termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Australia dan New Zealand, untuk menjadi perjanjian yang inklusif dan komprehensif.

Antara lain, perjanjian itu akan meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara rantau, mengukuhkan rantaian nilai serantau serta memudahkan ketelusan, perkongsian maklumat dan menyelaraskan peraturan dan standard teknikal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.