Langkah keselamatan MAHB dapat pensijilan UK, penuhi standard antarabangsa

Langkah keselamatan MAHB dapat pensijilan UK, penuhi standard antarabangsa

Pensijilan itu yang dikenali ISO45001: 2018, menunjukkan komitmen syarikat terhadap keselamatan komuniti penumpang dan lapangan terbang sepanjang wabak Covid-19.

MAHB mendapat pensijilan ISO dari British Standards Institution untuk langkah keselamatan lapangan terbangnya.
PETALING JAYA:
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan langkah keselamatan lapangan terbangnya mendapat pensijilan British Standards Institution (BSI).

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pensijilan itu yang dikenali ISO45001: 2018, menunjukkan komitmen syarikat terhadap keselamatan komuniti penumpang dan lapangan terbang sepanjang wabak Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata pensijilan itu diaudit berdasarkan amalan di lapangan, dokumentasi SOP lapangan terbang dan maklum balas daripada penglibatan dengan pihak pengurusan dan pekerja.

“Penting untuk langkah keselamatan operasi lapangan terbang kami disahkan sesuai dengan piawaian antarangsa.

“Kami terus meningkatkan kemudahan dan tahap perkhidmatan di lapangan terbang, oleh itu perlu pengesahan melalui audit yang menyeluruh terhadap proses dan sistem kami, bagi memastikan kami berada di landasan tepat untuk memenuhi janji menyediakan persekitaran perjalanan yang selamat.”

Mohd Shukrie berkata, mematuhi standard pensijilan bermaksud menghapuskan atau meminimumkan risiko kemalangan pekerjaan dan gangguan kos operasi syarikat.

Beliau berkata, ia juga akan menjadi jaminan kepada penumpang yang langkah keselamatan lapangan terbang berkesan, kerana mereka melalui analisis dan pemerhatian yang tepat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.