Aktiviti rempit di LTSIP berjaya dikawal, diselesaikan

Aktiviti rempit di LTSIP berjaya dikawal, diselesaikan

MAHB berkata langkah proaktif diambil dengan kerjasama polis dan JPJ bagi kukuh aspek penguatkuasaan serta pencegahan.

rempit di LTSIP
Sebelum ini tular video tindakan sekumpulan mat rempit menjadikan balai pelepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu sebagai litar lumba.
KOTA BHARU:
Aktiviti rempit di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) berada dalam keadaan terkawal dan berjaya diselesaikan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan langkah proaktif telah diambil dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkukuh aspek penguatkuasaan serta pencegahan.

Menurut kenyataan itu, kerjasama strategik antara agensi berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kawasan lapangan terbang terus terjamin selain mengelakkan aktiviti tidak sihat itu berulang.

“Selain penguatkuasaan, pihak pengurusan LTSIP turut melaksanakan langkah mengehadkan akses ke sebahagian laluan di kawasan kerbside dengan penggunaan kon jalan selepas waktu penerbangan terakhir, khususnya pada waktu malam.

“Langkah itu diambil sebagai usaha tambahan untuk menutup ruang kepada individu tidak bertanggungjawab daripada menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi aktiviti rempit,” menurut kenyataan itu.

MAHB menegaskan komitmennya untuk terus memastikan keselamatan dan ketenteraman di kawasan lapangan terbang sentiasa terpelihara demi kesejahteraan pengguna serta orang awam.

Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengarahkan JPJ untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di LTSIP.

Beliau dilapor berkata tindakan itu bagi mengekang kelakuan golongan mat rempit yang seakan menjadikan litar lumba di depan balai pelepasan terminal.

Media sebelum ini melaporkan, balai pelepasan di terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa di sini yang kurang sebulan beroperasi sepenuhnya, dijadikan litar lumba oleh mat rempit.

Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lepas sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila mula tular dalam media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.