
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 2 daripadanya ialah kes import dan baki 1,882 kes penularan tempatan.
Katanya, Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 1,203 kes diikuti Sabah sebanyak 289 kes.
Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster berkaitan tempat kerja, iaitu Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,067 kes (76.2%) dan Kluster Damanlela sebanyak 101 kes (7.2%).
Negeri Sabah pula masih melaporkan jumlah kes yang agak tinggi walaupun berkurang berbanding kebelakangan ini iaitu sebanyak 289 kes.
“Dari jumlah tersebut, 164 kes (56.7%) adalah hasil saringan kontak rapat.Sebanyak 33 kes (1.8%) yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (12 kes), Kluster GK Tawau (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (7 kes), Kluster Penjara Sandakan (3 kes), Kluster PTS Tawau (1 kes) dan Kluster Tembok (1 kes),” katanya ketika sidang media.
Negeri lain yang melaporkan kes positif hari ini Kuala Lumpur (197), Perak (81), Negeri Sembilan (41), Kedah (36), Pulau Pinang (12), Johor (16), Kelantan (9), Putrajaya dan Perlis masing-masing 1 kes.
Seramai 883 pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 42,480 atau 75% pesakit sudah sembuh daripada 56,659 kes positif.
Seramai 13,842 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara, dengan 115 orang di unit rawatan rapi dan 48 lagi memerlukan bantuan pernafasan.
Dua kematian yang dilaporkan hari ini berlaku di Sabah, menjadikan semuanya 337 kematian.
Lima negeri tidak mempunyai kes baharu hari ini iaitu, Labuan, Sarawak, Pahang, Melaka, dan Terengganu