
Speaker Azhar Azizan Harun mengumumkan perkembangan itu selepas mendapati majoriti suara di Dewan Rakyat menyokong Belanjawan 2021.
“Saya kira lebih suara bersetuju,” katanya.
Beliau juga mengambil maklum tidak cukup 15 wakil rakyat untuk mengadakan belah bahagi.
Undian menyusuli penggulungan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz selepas RUU tersebut dibahas selama 8 hari sejak 9 Nov.
Sebelum itu, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dari Amanah mencadangkan undian belah bahagi dibuat bagi menentukan sokongan terhadap Belanjawan 2021.
Beliau bagaimanapun gagal mendapat 15 wakil rakyat untuk menyokong cadangannya.
Seorang Ahli Parlimen mendakwa hanya 11 wakil rakyat Amanah, Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun) menyokong belah bahagi diadakan.
Cubaan FMT mendapatkan penjelasan daripada PKR dan DAP gagal apabila semua panggilan dan pesanan belum dijawab.
FMT juga sedang mengesahkan angka sebenar wakil rakyat yang menyokong undian secara belah bahagi dengan pihak Dewan Rakyat.
Perkembangan ini bermakna perbahasan Belanjawan 2021 diteruskan ke peringkat jawatankuasa. Pusingan undian seterusnya akan menyaksikan adakah Belanjawan 2021 diluluskan dengan sebarang pindaan atau tidak.
Difahamkan pentadbiran Muhyiddin Yassin memuaskan 2 tuntutan Barisan Nasional sebelum ini, iaitu melanjutkan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank dan membolehkan pencarum mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.