Kesungguhan kerajaan mula rundingan petroleum bukan retorik, kata PPBM Sabah

Kesungguhan kerajaan mula rundingan petroleum bukan retorik, kata PPBM Sabah

Rakyat Sabah sudah lama menantikan perkara itu diselesaikan secepat mungkin.

Ketua Penerangan PPBM Sabah Khairul Firdaus Akbar berkata apa saja bakal dimeterai dalam rundingan itu pasti memberikan impak positif berskala besar dalam melonjakkan industri petroleum dan gas di Sabah.
KOTA KINABALU:
Ketua Penerangan PPBM Sabah Khairul Firdaus Akbar berkata, kesediaan kerajaan pusat memulakan rundingan berkaitan petroleum dan gas di negeri ini bukan retorik tetapi ia tindakan yang cukup signifikan dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, PPBM Sabah yakin dengan kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ia juga sesuatu yang sudah lama dinantikan rakyat Sabah.

“Badan kepimpinan PPBM Sabah menyambut baik dan bersyukur apabila Muhyiddin memberi jaminan kesungguhan dan komitmen penuh untuk memulakan rundingan berkenaan petroleum dan gas di negeri ini.

“Apa jua bakal dimeterai dalam rundingan itu nanti, pasti ia akan memberikan impak positif berskala besar dalam melonjakkan lagi industri petroleum dan gas di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul berkata, lonjakan menerusi industri berkenaan secara langsung turut menghidangkan limpahan kemakmuran dari pelbagai sudut sama ada ekonomi mahupun sosial yang mampu menjamin kemakmuran rakyat Sabah.

“Hakikatnya, rakyat Sabah sudah lama menantikan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi memelihara kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut kagum dengan ketua menteri yang juga Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor dalam memperjuangkan perkara itu dalam pembentangan usul sempena Perhimpunan Agung Tahunan PPBM ke-3, semalam.

“Dalam ucapan penggulungan, perdana menteri merangkap presiden PPBM secara terbuka berikrar akan melaksanakan perkara itu secepat mungkin demi kebaikan rakyat Sabah dan sebagai tanda terima kasih kerana sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri, baru-baru ini.

“Dengan ikrar itu ia jelas menggambarkan hubungan akrab antara kerajaan negeri bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan pusat.

“Suasana sebegini pasti mampu mewujudkan ‘iklim’ baik dari segenap sudut demi kemajuan Sabah supaya dapat direalisasikan bawah kepimpinan era baru secepat mungkin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.