4 kluster baru dikesan melibatkan Selangor, Sabah

4 kluster baru dikesan melibatkan Selangor, Sabah

Empat kluster dikesan adalah Kluster Monsoon, Jalan Kilang, Perdana Enam, dan Jalan Kubota.

PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengenalpasti 4 kluster baharu dalam tempoh 24 jam lalu membabitkan Selangor dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Monsoon membabitkan Petaling, Selangor; Kluster Jalan Kilang dan Perdana Enam membabitkan daerah Lahad Datu, Sabah; dan Kluster Jalan Kubota membabitkan Tawau, juga di Sabah.

Memperincikan kluster berkenaan, beliau berkata, kes indeks bagi Kluster Monsoon dilaporkan positif pada 29 Nov hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 106 individu disaring, dengan 19 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, bagi Kluster Jalan Kilang, Hisham berkata, kes awal dalam kluster ini dilapor positif bermula 15 Nov hasil saringan tempat kerja di sebuah kilang.

“Setakat hari ini, seramai 24 individu disahkan positif.”

Kluster Perdana Enam pula dikesan hasil saringan individu bergejala pada 22 Nov dan setakat hari ini seramai 25 disahkan positif hasil saringan terhadap 213 individu.

Kluster terakhir, Jalan Kubota, pula merekodkan 14 kes positif hasil saringan terhadap 72 individu.

Setakat hari ini, terdapat sebanyak 373 kluster dilaporkan termasuk 4 kluster baru yang dilaporkan pada hari ini.

Jumlah kluster yang tamat pula sebanyak 189 kluster termasuk 3 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Bukit, Kluster Tujuh Serangkai dan Kluster Laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.