Keputusan suruhanjaya narkotik PBB berkait kanabis tidak ubah status di Malaysia, kata menteri

Keputusan suruhanjaya narkotik PBB berkait kanabis tidak ubah status di Malaysia, kata menteri

Kanabis dan bahan-bahan berkait kanabis kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, Malaysia komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global.
PETALING JAYA:
Keputusan Persidangan Semula ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2 Dis untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal mengenai Dadah Narkotik 1961 tidak mengubah status kawalan bahan itu di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu tidak mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan berkait kanabis di Malaysia.

“Kanabis dan bahan-bahan berkait kanabis kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di peringkat antarabangsa, keputusan suruhanjaya berkenaan juga tidak melonggarkan kawalan ke atas kanabis kerana ia kekal dikawal ketat di bawah Jadual 1 Konvensyen 1961 itu.

“Sebagai ahli dalam ketiga-tiga konvensyen dadah antarabangsa, iaitu Konvensyen 1961, Konvensyen Mengenai Bahan Psikotropik 1971 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Perdaganagan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988, Malaysia kekal komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.