Saya tak akan pohon DUN dibubar

Saya tak akan pohon DUN dibubar

Beliau dijangka menghadap Sultan Perak petang ini.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.
IPOH:
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata beliau tidak akan meminta Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri susulan kekalahannya dalam undian terhadap kepimpinan beliau pagi tadi.

Faizal berkata beliau tidak akan mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila beliau menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum kedudukan semasa kerajaan negeri Perak di bawah Perikatan Nasional (PN).

Katanya beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat ketika negara sedang mendepani pandemik COVID-19 berbanding kedudukannya selepas gagal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan terhadapnya selaku Menteri Besar Perak pada persidangan DUN pagi tadi.

“Bila saya menghadap Sultan, saya boleh menyembah agar Dewan (DUN)  dibubarkan, (namun) adakah itu yang kita mahu? Sama sekali tidak, (kerana)  keadaan (sekarang) tidak kondusif untuk pilihan raya. Jadi apa yang saya harus lakukan?

“Saya perlu akur dan beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku pilih sebagai menteri besar dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media.

Katanya beliau berusaha melakukan yang terbaik semasa diberi amanah menjadi menteri besar “dan apabila tiba masa seperti sekarang, saya terima dengan baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.