
Katanya, tiada lagi sekatan jalan dan orang ramai juga tidak perlu memohon permit daripada polis, kecuali untuk beberapa kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Beliau berkata, polis sudah diarah memfokuskan pematuhan SOP mulai sekarang.
“Saya amat berharap setiap daripada kita menjaga keselamatan diri dan mengambil langkah pencegahan,” katanya dalam sidang media hari ini.
“Vaksin terbaik bagi menangani Covid-19 adalah kita mengikut norma baru kehidupan. Tanpa perubahan sikap masyarakat dan pematuhan SOP, kita tidak akan berjaya.”
Ismail turut mengumumkan peraturan tiga orang menaiki sebuah kenderaan dibatalkan.
“Tiada had dalam kenderaan persendirian (mengikut
kapasiti tempat duduk) bagi orang yang keluar dari rumah sama.
“Biasanya, untuk kereta keluarga, ada dua (tempat duduk) di depan dan tiga di belakang. Jadi, had (penumpang) untuk kereta itu adalah lima.”
Beliau berkata, perkhidmatan bas ekspres, pelancongan dan
kereta api melibatkan rentas daerah dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50%.
Katanya, Majlis Keselamatan Negara akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan untuk menyediakan “senarai positif” aktiviti yang dibenarkan tidak lama lagi.
Beliau berkata, perbincangan akan diadakan Isnin ini mengenai arahan kerja dari rumah untuk negeri yang kembali kepada PKPP dan sama ada semua pekerja dibenarkan kembali ke pejabat.
Ismail berkata, pemegang MyKad, MyPR, MyKAS, pas imigresen jangka panjang yang sah tempoh, suami, isteri serta tanggungan rakyat Sabah dibenarkan ke Sabah untuk tujuan sosial.
Katanya, warga asing yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas dari kerajaan Sabah.
Beliau berkata, semua individu perlu menjalani swab pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan.
“Hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah.
“Kebenaran polis bagi pergerakan keluar dari Sabah dan rentas daerah tidak diperlukan.”
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 491 orang ditahan kerana mengingkari SOP semalam, di mana 437 daripadanya didenda dan 54 lagi direman.
Ia membabitkan kegagalan mematuhi penjarakan fizikal (294), tidak memakai pelitup muka (70), gagal menyediakan peralatan peralatan/merekod butiran pelanggan (70), rentas daerah/negeri PKPB tanpa kebenaran (23) dan lain-lain (34).
Katanya, 116 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dengan sebuah bot dan sebuah kenderaan dirampas dalam Operasi Benteng di seluruh negara semalam.