
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Abdul Rahim Mohamad Nor berkata Ahmad Faizal mempersembahkan warkah peletakkan jawatan itu kepada Sultan Nazrin, semasa mengadap baginda di Istana Kinta di sini, pada pukul 3 petang semalam.
“Susulan kehilangan sokongan dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli dewan terhadap menteri besar, kedudukan Ahmad Faizal sebagai menteri besar Perak terjejas secara langsung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata ia berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Menurut Abdul Rahim, Sultan Nazrin menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang melaksanakan tugas sebagai menteri besar sejak 12 Mei 2018, dengan dua kali mengangkat sumpah jawatan, iaitu kali pertama pada 12 Mei 2018 dan kali kedua pada 13 Mac lalu.
“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak atas perkhidmatan yang diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya.
Dalam usul undi kepercayaan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar yang dibawa oleh Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang, mendapat 10 undi berbanding 48 menentang, manakala satu berkecuali.