
Beliau kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 30 hari dan denda RM20,000 atau empat bulan penjara terhadap pegawai imigresen, Zalizi Ismail, 26, yang mengaku bersalah menerima wang tunai RM12,000 daripada seorang lelaki minggu lalu.
Hakim itu turut menegur perbuatan tertuduh gagal menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan Jabatan Imigresen untuk menjaga pintu masuk negara dengan melepaskan warga asing yang ditahan di KLIA.
“Saya nak kamu percaya dengan pengakuan salah kamu. Kalau kamu dihukum di dunia, saya doakan ia cukup sebagai kifarah untuk kamu di akhirat. Ada orang kena tangkap banyak kali masih tidak mengaku, ada bukti pun tidak mengaku dan kalau tidak kena tangkap, kita rasa kita tidak salah,” katanya.
Sejurus prosiding berakhir, Zalizi menangis teresak-esak sambil dipeluk ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.
Tertuduh mengaku bersalah menerima RM12,000 tanpa balasan daripada Chu Wing Kong yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai penolong pegawai penyiasat di Bahagian Operasi KLIA, Jabatan Imigresen, iaitu mempercepatkan proses melepaskan dua tahanan reman Jabatan Imigresen, Zhou Guifang dan Zhu Xiangliang pulang ke China.
Zalizi melakukan kesalahan itu dalam kafe sebuah stesen minyak di klia2 kira-kira 7.37 malam 2 Dis lalu dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, dua warga China itu ditahan ketika pemeriksaan imigresen di Balai Berlepas Aras 4 Bangunan MTB KLIA pada 29 Nov lalu kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia dan mereka direman 14 hari hingga 12 Dis ini.
Tertuduh kemudiannya menghubungi Chu dan meminta RM12,000 untuk mempercepatkan pelepasan dua tahanan itu pulang ke China dalam tempoh dua minggu.
Terdahulu, Zalizi yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kepadanya atas alasan dia sudah insaf dan bertaubat atas kesalahannya serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
“Saya merayu, saya tak nak masuk penjara kerana saya ada seorang anak berumur setahun dan perlu tanggung isteri tidak bekerja, ayah dan dua beradik yang masih belajar.
“Ini merupakan kesalahan pertama saya dan merayu mahkamah kenakan denda sebulan gaji saya sebab saya baru kerja dengan gaji permulaan RM1,460.”
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Fadhli Ab Wahab bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman dan keseriusan kesalahan itu.
Katanya, tertuduh berkhidmat tidak sampai dua tahun dengan Jabatan Imigresen, tetapi sudah terbabit dalam kesalahan rasuah melibatkan jumlah wang yang banyak.
“Tertuduh diberi amanah dan tanggungjawab oleh Jabatan Imigresen untuk jaga pintu masuk keluar Malaysia, namun hari ini tertuduh telah langgar kepercayaan itu.
“Operasi besar-besaran melibatkan pegawai Jabatan Imigresen yang jaga pintu masuk keluar Malaysia dilakukan SPRM sejak beberapa minggu lalu dan mendapat liputan meluas media.
“Mohon hukuman penjara diberi kepada tertuduh bagi menghantar mesej kepada tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan sama pada masa akan datang, selain memberi peringatan kepada penjawat awam lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.”