
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun lanjutan PKPB itu tidak membabitkan daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“Berdasarkan penilaian risiko dilaksanakan, Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes positif di daerah perindustrian di Selangor iaitu Klang, Hulu Langat, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Sepang berikutan saringan pekerja di sektor perkilangan dan tapak pembinaan,” katanya pada sidang media.
Secara kumulatif hingga 17 Disember, sebanyak 22,931 kes positif COVID-19 direkodkan di Selangor.
Sementara itu, menyentuh mengenai PKPB di Kuala Lumpur, Ismail berkata, lanjutan itu berikutan terdapat peningkatan ketara kes positif COVID-19 terutama dalam kalangan bukan warganegara hasil ujian saringan di tempat kerja dan wujud beberapa kluster baru melibatkan wilayah itu.
Mengenai lanjutan PKPB di Sabah, beliau berkata, berdasarkan penilaian kes dalam tempoh 14 hari bermula 2 Disember lalu, jumlah kes harian masih lagi tinggi dan kebanyakan kluster daripada kediaman membabitkan warganegara.
“KKM turut menjangkakan kes positif COVID-19 akan terus meningkat berikutan saringan pekerja bukan warganegara yang bermula pada 16 Disember.”
Mengulas lanjut, Ismail berkata, PKPB di Port Dickson dan Seremban, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Batu Pahat serta Kulai, Johor juga dilanjutkan hingga 31 Disember.
Kerajaan juga bersetuju melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Kluang dan Kuarters Penjara Kluang, Johor bermula 19 Disember hingga 31 Disember.
“Pelaksanaan PKPD akan melibatkan 3,777 orang terdiri daripada 3,224 tahanan dan 553 kakitangan di penjara ini.
“SOP PKPD di penjara ini sama seperti diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya.