Henti serang Anwar, fokus gagasan perdana, Pemuda Amanah beritahu Dr M

Henti serang Anwar, fokus gagasan perdana, Pemuda Amanah beritahu Dr M

Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, kesepakatan semua pembangkang dan perdamaian antara Dr Mahathir Mohamad serta Anwar Ibrahim perlu untuk merealisasikan 'gagasan perdana'.

Pemuda Amanah berkata, tindakan Dr Mahathir Mohamad menyerang Anwar Ibrahim hanya mengeruhkan keadaan.
PETALING JAYA:
Pemuda Amanah meminta Dr Mahathir Mohamad berhenti menyerang Anwar Ibrahim dan kembali ke meja rundingan untuk merealisasikan cadangan “gagasan perdana”.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, tindakan bekas perdana menteri itu berkali-kali menyerang pengerusi PH hanya mengeruhkan keadaan.

Beliau berkata, kesepakatan semua pembangkang dan perdamaian antara Mahathir serta Anwar perlu untuk menjadikan “gagasan perdana” kenyataan.

“Lantas kami memohon Mahathir untuk menghentikan serangan dan menerima tawaran Anwar duduk berunding bersama Pakatan Harapan dalam merangka hala tuju baru pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mahathir membidas Anwar dengan berkata, beliau tidak mempercayai ketua pembangkang itu kerana tidak menunaikan janjinya, khasnya dakwaan beliau memiliki majoriti mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Beliau berkata demikian selepas Anwar mengumumkan kesediaannya bekerjasama dengan Mahathir secara bersyarat menerusi cadangan pembentukan gagasan perdana pembangkang.

Terdahulu, Pemuda PKR menggesa PH terus maju tanpa penglibatan Mahathir yang cuba membawa jenama gabungan besar sebagai strategi pecah perintah lapuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.