Sabar, kerjasama kunci hadapi lonjakan harga bahan api, kata Anwar

Sabar, kerjasama kunci hadapi lonjakan harga bahan api, kata Anwar

Perdana menteri turut selar pembangkang kerana kritik kerajaan berhubung situasi ekonomi berpunca daripada konflik Asia Barat.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, penting untuk rakyat Malaysia kekal sabar ketika situasi ekonomi berpunca daripada konflik Asia Barat masih berlanjutan. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama semua pihak, termasuk pembangkang, amat penting ketika negara berdepan kenaikan mendadak harga bahan api akibat konflik Asia Barat.

Anwar juga membidas pembangkang kerana menyalahkan Putrajaya atas krisis ekonomi dan gangguan bekalan bahan api semasa.

“Bukan salah kita. Ini masalah perang dunia. Masih ada lagi beberapa orang pembangkang, maki hamun kita dalam keadaan sekarang …. Patut semua pakat cari penyelesaian.

“Satu dunia gawat sekarang … yang paling penting, sabar dan faham masalah ini,” katanya pada satu program libat urus komuniti di Dewan Komuniti Permatang Pasir.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin semalam meluahkan rasa kesal berhubung kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter menjelang sambutan Aidilfitri.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, kenaikan tersebut akan mencetuskan kesan rantaian, terutamanya terhadap kos pengangkutan, sekali gus melonjakkan harga barangan.

Tambahnya, walaupun kita sedia maklum harga minyak global melonjak akibat konflik Asia Barat, impaknya terhadap rakyat Malaysia perlu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Tangani ketidakpuasan hati kaum dengan betul

Anwar turut menekankan keperluan menangani rungutan pelbagai kaum di negara ini dengan sebaiknya bagi memelihara keharmonian dan keamanan masyarakat majmuk.

“Kena ingat. Tanya orang Cina, ada dia tak puas hati. Tanya orang Melayu, ada tak puas hati. Tanya orang India, tak ada tak puas hati. Saya pergi Sabah, Sarawak, ada tak puas hati. Itu biasa. Runding dengan baik. Selesai dengan baik.

“Sebab itu saya kata, pimpinan kena ambil tahu. Dan pimpinan jangan ambil tahu hanya diri dia dan kekayaan dia,” katanya.

Semalam, Anwar memuji inisiatif oleh NGO Islam dan Hindu, yang mengadakan pertemuan pertama daripada siri perjumpaan bertujuan mencari titik pertemuan berhubung beberapa isu, termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut menterjemahkan nilai-nilai teras fabrik sosial Malaysia dengan menolak tindakan yang memecahbelahkan serta memupuk sikap saling menghormati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.