
Kluster tersebut adalah Lintas Seraya di Sabah; Tapak Bina Perdana Avenue dan Osmo Jaya di Selangor; Belati, Wawasan Gading dan Rengit Sentral di Johor; Manik dan Paloh Tumpat di Kelantan; dan Stutong di Sarawak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Lintas Seraya melibatkan Kota Kinabalu dan Penampang di Sabah, dengan kes indeks dilaporkan positif COVID-19 pada 30 Dis lalu melalui saringan individu bergejala.
Seramai 16 daripada 42 individu yang disaring didapati positif setakat ini.
Bagi kluster Tapak Bina Perdana Avenue di Petaling, Selangor, kes positif dilaporkan 30 Dis lalu hasil saringan bersasar ke atas pekerja sebuah tapak binaan. Seramai 783 individu disaring dan 202 kes positif dikesan sehingga kini.
Kluster Osmo Jaya membabitkan Hulu Langat di Selangor, dengan kes positif dikesan pada 15 Dis lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga kini, 46 kes positif dilaporkan, selepas 188 individu disaring.
Kluster Belati membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai dan Pontian di Johor, dengan kes pertama didapati positif pada 29 Dis lalu melalui saringan bersasar di tempat kerja. Seramai 277 individu sudah disaring dan 44 daripadanya disahkan positif COVID-19.
Kluster Wawasan Gading di Batu Pahat, Johor pula dikesan selepas kes indeks dilaporkan positif pada 14 Dis lalu melalui saringan individu bergejala. Kini, 13 kes positif dilaporkan susulan saringan ke atas 175 individu.
Kluster Rengit Sentral membabitkan Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru, di mana kes pertama didapati positif pada 28 Dis lalu hasil saringan sebelum pulang ke negara asal. Hasil saringan ke atas 141 individu mendapati 10 kes positif.
Kluster Manik membabitkan Kuala Krai di Kelantan dan Dungun di Terengganu. Kes indeks ialah kes Influenza-like Illness (ILI) yang dilaporkan positif pada 28 Dis lalu, dengan 22 daripada 168 individu yang disaring disahkan positif COVID-19.
Kluster Paloh Tumpat dikesan di Tumpat, Kelantan, dengan kes pertama didapati positif pada 31 Dis lalu hasil saringan individu bergejala. Sehingga kini, 15 daripada 39 individu disaring didapati positif.
Kes indeks bagi kluster Stutong di Kuching, Sarawak dilaporkan pada 1 Jan lalu hasil saringan individu bergejala. Seramai lima daripada 51 individu yang disaring disahkan positif COVID-19 setakat ini.
Hisham berkata, enam kluster tamat hari ini, iaitu Sungai Cincin, Tempasuk, Jalan Tuaran, Gangsa, Plaza dan Teluk, menjadikan keseluruhan 300 kluster sudah berakhir.
Katanya, terdapat 232 kluster aktif ketika ini, dengan 59 daripadanya melaporkan pertambahan kes hari ini.
“Kluster yang melaporkan pertambahan kes baru tertinggi adalah Kebun Baru (89 kes), Beringin (82 kes), Penjara Jalan Harapan (56 kes) dan Sungai Putus (56 kes),” katanya dalam kenyataan.