Lelaki OKU ditahan ugut bunuh wartawan

Lelaki OKU ditahan ugut bunuh wartawan

Suspek ugut wartawan berhubung penulisan sokong tindakan tegas pihak berkuasa dalam membanteras jenayah.

KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana disyaki mengugut bunuh seorang wartawan berhubung penulisannya yang menyokong tindakan tegas pihak berkuasa dalam membanteras jenayah.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata lelaki tersebut ditangkap pada 5 Jan lalu susulan laporan polis yang dibuat oleh wartawan tersebut pada 28 Dis lepas.

Siasatan awal mendapati lelaki berusia 52 tahun berkenaan ialah ayah kepada seorang daripada empat suspek yang mati terkena tembakan polis di Sungai Buloh pada 25 Dis lepas, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Beh, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu dikatakan membuat ugutan bunuh terhadap wartawan tersebut melalui panggilan telefon.

Kes disiasat menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan lelaki pemegang kad OKU (mental) tersebut dibebaskan dengan jaminan polis, katanya.

Dalam kejadian 25 Dis lalu, empat lelaki yang dipercayai menyamun sebuah rumah di Rawang mati terkena tembakan polis selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah motosikal GrabFood ditunggang seorang wanita tempatan dan mengheretnya sejauh beberapa meter ketika cuba meloloskan diri.

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta itu untuk menyelamatkan mangsa daripada dirempuh kali kedua dan turut melepaskan tembakan yang mengenai kesemua suspek apabila seorang daripada mereka keluar dari kereta sambil memegang parang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.