Umno mesti putus hubungan dengan PPBM secepat mungkin, kata Nazri

Umno mesti putus hubungan dengan PPBM secepat mungkin, kata Nazri

Nazri Aziz berkata Ahli Parlimen boleh menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional untuk mencetuskan pilihan raya umum.

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata, beliau lebih selesa tidak memegang jawatan lantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkannya mengkritik kerajaan.
PETALING JAYA:
Umno perlu memutuskan hubungan dengan PPBM dan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) “secepat mungkin” bagi mengelak lebih banyak masalah, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.

“Saya setuju macam mana Najib (Razak) cakap, lagi lama kekal (bekerjasama dengan PPBM), semakin sukar bagi kita, sebab hari-hari dia (PPBM) curi ahli kita, bukan kita tidak tahu, setiausaha agung PPBM cakap nak 8,000 cawangan.

“Mana ada ahli bunga (PPBM) secara rela nak buat cawangan, main duit-duit la tu, jadi kita perlu keluar secepat mungkin (dari kerajaan PN,” katanya dalam sembang santai bersama media.

Nazri berkata, beliau lebih selesa tidak memegang jawatan lantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkannya mengkritik kerajaan.

“Kalau saya terima ‘habuan’ dari kerajan hari ini, saya bimbang saya akan cakap macam pemimpin (dalam kerajaan) yang ada hari ini (pro kerajaan).

“Saya tak mahu (jawatan) dan bebas untuk cakap apa,” katanya.

Beliau berkata, seruan tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) selaras dengan kebanyakan akar umbi Umno termasuk di kawasannya, yang tidak berpuas hati dengan parti serpihan Umno itu.

“Kita tidak mahu hubungan dengan PPBM, kita hanya mahu perkasa hubungan dengan PAS, jadi inilah sebenarnya kalau lihat perkembangan politik Umno, inilah hala tuju kita,” katanya.

Nazri menolak tuduhan konon Umno memberi tekanan kepada kerajaan supaya pilihan raya diadakan secepat mungkin.

“Kita tak tentukan bila tarikh (PRU), itu hak Agong untuk bersetuju untuk bubar Parlimen, kalau ada ahli politik kata Umno kemaruk nak PRU itu tidak betul,” katanya.

Katanya, apabila keadaan sesuai dan Covid-19 terkawal, PRU perlu diadakan bagi memastikan kerajaan baharu dibentuk lebih stabil.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lalu berkata, 143 dari 191 bahagian Umno (74.8%) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.