Parlimen digantung, tetapi Ahli Parlimen perlu teruskan tugas, kata Azhar

Parlimen digantung, tetapi Ahli Parlimen perlu teruskan tugas, kata Azhar

Semua aktiviti kaukus, kumpulan rentas parti Parlimen dan jawatankuasa pilihan khas masih boleh diteruskan, kecuali dikekang ordinan yang digubal Agong.

Azhar Azizan Harun berkata tugasnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia.
PETALING JAYA:
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun berkata, kedudukan dan tanggungjawab semua Ahli Parlimen tetap sama seperti sedia kala, walaupun semua sesi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sepanjang tempoh darurat.

Beliau menerusi kenyataan berkata, pengisytiharan darurat tidak bermakna Parlimen dibubarkan.

“Semua aktiviti apa-apa kaukus atau kumpulan rentas parti Parlimen serta semua jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan masih boleh diteruskan, kecuali aktiviti-aktiviti tersebut dikekang ordinan yang digubal Yang di-Pertuan Agong.”

Terdahulu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memberi jaminan pengisytiharan darurat bukan rampasan kuasa, sebaliknya sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh kecemasan tamat.

Katanya, kerajaan bersama Kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi, serta jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam tidak akan terganggu dengan pengisytiharan itu.

Azhar berkata, pihaknya mengambil maklum penubuhan jawatankuasa bebas dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang akan mengesyorkan tempoh darurat kepada Agong.

“Melalui jawatankuasa bebas tersebut serta jawatankuasa pilihan khas, Parlimen akan terus menjalankan fungsinya di dalam proses semak dan imbang, sebagai institusi unggul badan perundangan negara.”

Katanya, Parlimen akan menunggu Ordinan Darurat yang akan digubal Agong.

Pagi tadi, Agong memberi perkenan pengisytiharan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsudin dilaporkan berkata, Agong memberi perkenan untuk pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau tarikh lebih awal, jika kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.